Seramai 28 pengunjung sebuah pusat hiburan yang sedang asyik berhibur dikompaun RM140,000 selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP).
Seramai 28 pengunjung sebuah pusat hiburan yang sedang asyik berhibur dikompaun RM140,000 selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP).
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Seramai 28 pengunjung sebuah pusat hiburan yang sedang asyik berhibur dikompaun RM140,000 selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP), semalam.

Serbuan pada jam 11 malam itu dilakukan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur menerusi Ops Pematuhan Khas Covid-19.

Ketua JPJKK IPK Kuala Lumpur, Datuk Azman Ayob berkata, serbuan ke atas premis berkenaan dilakukan hasil aduan awam yang diterima.

"Hasil pemeriksaan mendapati premis itu melanggar Peraturan 17 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit Pelan Pemulihan Negara (PNN) Fasa 4 2021 (Melakukan aktiviti terlarang dalam pub dan kelab malam) semasa tempoh PPN Fasa 4 bagi Kuala Lumpur.

"Polis mengeluarkan kompaun terhadap 28 orang pengunjung yang berada di pusat hiburan itu dengan nilai kompaun berjumlah RM140,000," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kompaun RM25,000 turut dikeluarkan terhadap pemilik premis terbabit menjadikan nilai keseluruhan kompaun berjumlah RM165,000.

"Operasi akan dipertingkatkan lagi dari semasa ke semasa dalam usaha kerajaan menghentikan penularan wabak Covid-19 di negara ini khususnya dalam kalangan warga ibu kota," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 3:01 PM