ANTARA pengunjung kelab malam yang diperiksa polis dalam operasi tengah malam tadi. FOTO ihsan polis
ANTARA pengunjung kelab malam yang diperiksa polis dalam operasi tengah malam tadi. FOTO ihsan polis
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Seramai 48 individu dikompaun membabitkan nilai keseluruhan RM240,000 dalam serbuan di dua premis hiburan di ibu negara, tengah malam tadi.

Ketua Jabatan Pencegahan dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kuala Lumpur Datuk Azman Ayob berkata, seramai 23 pegawai dan anggota terbabit dalam operasi berkenaan.

"Sebanyak 30 kompaun berjumlah RM150,000 dikeluarkan terhadap pengunjung di premis pertama, manakala 18 kompaun berjumlah RM90,000 dikeluarkan di premis kedua.

"Pemilik kedua-dua premis turut dikenakan kompaun masing-masing berjumlah RM25,000," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azman berkata, tindakan kompaun itu dilakukan kerana pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan melakukan aktiviti terlarang di kelab malam.

"Tindakan itu diambil mengikut Peraturan 17 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit PPN 4 2021.

"Jumlah keseluruhan kompaun yang dikeluarkan dalam operasi ini adalah RM290,000," katanya.

Beliau berkata, seramai 23 pengunjung di premis pertama diarahkan menjalani ujian saringan awal air kencing dan mereka didapati negatif dadah.

"Operasi ini akan ditingkatkan dari semasa ke semasa dalam usaha menghentikan penularan wabak Covid-19 dalam kalangan warga kota," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 November 2021 @ 10:10 AM