Nor Amalina Alias

Kota Bharu: "Dulu saya belajar buat karipap pusing kerana nak tolong suami, kini jualan kuih inilah digunakan untuk menyata hidup saya dan anak selepas suami meninggal dunia," kata Noriah Ismail.

Noriah, 36, berkata, sebelum ini dia belajar membuat karipap pusing dengan kakak iparnya, Sabihah Mamat, 60, bagi membantu suaminya, Rostam Mamat, 46, yang bekerja membaikpulih paip, pendawaian dan kerja kampung.

Katanya, apabila Rostam meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya, dua bulan lalu, dia dan empat anak, Nur Fairuz Syakirah, 11; Muhaimin Helmi, 9; Mohammad Illyas, 7, dan Nur Uzma Amirah, 5, kehilangan tempat bergantung.

"Arwah suami baru nak buka perniagaan baik pulih paip selepas dapat beberapa projek daripada rakannya dan kami berharap langkah itu dapat mengubah nasib keluarga, malangnya dia terbabit kemalangan.

"Memikirkan komitmen keluarga, saya kuatkan hati teruskan hidup dengan membuat karipap pusing setiap hari yang dihantar ke kedai, selain mengambil tempahan untuk menyara anak masih kecil," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bechah Keranji, Melor, di sini.

NORIAH Ismail, 36, bersama empat anaknya ketika ditemui di  Kampung Bechah Keranji, Melor. FOTO Nor Amalina Alias.
NORIAH Ismail, 36, bersama empat anaknya ketika ditemui di Kampung Bechah Keranji, Melor. FOTO Nor Amalina Alias.

Noriah berkata, mereka tinggal menumpang di rumah pusaka keluarganya bersama bapa saudara yang juga bekerja kampung sejak tiga tahun lalu.

Katanya, setiap hari dia akan memperuntukkan enam jam untuk kerja menguli adunan, membentuk karipap, menggoreng dan membungkus kuih berkenaan bermula 9 hingga 10 malam sebelum menyambungnya pada 4 pagi sehingga siap.

"Saya buat 200 biji sehari kerana hanya buat seorang, kalau dulu arwah suami bantu dapatlah buat lebih. Saya gunakan kemahiran untuk teruskan hidup sebab suami pergi dengan tiba-tiba," katanya.

Terdahulu, Noriah dilawati badan bukan kerajaan (NGO), Cempaka Merah Asnaf Society, The Third Force dan I-Kasih.

Pengerusi Cempaka Merah, Che Norhayati Mohamed berkata, kunjungan mereka bagi menyampaikan bantuan wang tunai dan makanan kepada keluarga daif itu.

Katanya, selain itu, dia bersetuju memberi bantuan peralatan mesin kuih bagi meringankan tugas Noriah, sekali gus menambah pendapatan keluarga itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2020 @ 3:39 PM