DATUK Seri Ahmad Faizal Azumu (dua dari kiri) menandatangani plak perasmian pada Majlis Perasmian Kompleks Sukan Majlis Sukan Negara. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
DATUK Seri Ahmad Faizal Azumu (dua dari kiri) menandatangani plak perasmian pada Majlis Perasmian Kompleks Sukan Majlis Sukan Negara. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
Mohd Amin Jalil

[email protected],my

Nilai: Tiada diskriminasi dilakukan Malaysia terhadap atlet Israel berhubung isu penolakan pemberian visa kepada pemain skuasy negara itu bagi menyertai Kejohanan Berpasukan Dunia Lelaki yang dijadual diadakan di Kuala Lumpur, Disember ini.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel dan pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sememangnya tidak membenarkan kemasukan atlet dari negara berkenaan.

Menurutnya, semua negara mengetahui Malaysia tiada hubungan diplomatik dengan Israel dan tidak akan benarkan mereka untuk ambil apa-apa bahagian di negara ini.

"Apabila kita anjurkan kejohanan sukan antarabangsa, JIM tidak akan benarkan atlet mereka masuk. Apabila persekutuan sukan antarabangsa meletakkan Malaysia sebagai tuan rumah kepada kejohanan itu, mereka sepatutnya maklum yang kita tidak benarkan atlet dari Israel ambil bahagian di sini.

"Saya fikir amat malang sekali jika kita dituduh untuk bertindak diskriminasi dan sebagainya, tetapi sebenarnya kalau (melihat) politik dunia, Israel mendiskriminasi rakyat Palestin dan juga mendominasi dunia secara proksi, itu yang patut kita tentang habis-habisan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN) Nilai, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) KBS, Ramona Mohd Razali dan Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Berikutan tindakan tegas Malaysia menolak memberikan visa kepada pemain skuasy Israel, dilaporkan Persatuan Skuasy Israel merancang untuk membuat aduan kepada Mahkamah Sukan di Switzerland jika Persekutuan Skuasy Dunia (WSF) tidak dapat menyelesaikan isu itu.

Kejohanan Skuasy Berpasukan Dunia bagi lelaki itu dijangka berlangsung di Kuala Lumpur dari 7 hingga 12 Disember dengan penyertaan 26 regu.

Sementara itu, Ahmad Faizal yang juga Ahli Parlimen Tambung berkata, beliau akan menjadi individu pertama menentang sekiranya ada atlet Israel yang memasuki negara ini.

"Saya pernah ditahan pihak berkuasa Israel ketika melaksanakan Misi Kemanusiaan Freedom Flotilla pada 2010.

"Saya ditangkap dan dipenjarakan dalam penjara Isreal. Kalau mahu benarkan atlet daripada Israel jejak kaki di sini, saya fikir, saya orang pertama yang akan menentang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 November 2021 @ 4:08 PM