Idris (dua dari kiri) menyampaikan cenderahati kepada Victor dalam forum Jenayah Dalam Talian di pusat beli belah Imago, Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan
Idris (dua dari kiri) menyampaikan cenderahati kepada Victor dalam forum Jenayah Dalam Talian di pusat beli belah Imago, Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan
am@hmetro.com.my


Kota Kinabalu: Jenayah penipuan dalam talian dilaporkan terus meningkat membabitkan 2,804 kes sepanjang tempoh Januari 2019 hingga Oktober tahun ini di Sabah.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, semua kes penipuan itu membabitkan kerugian yang dianggarkan mencecah RM79.2 juta.

Katanya, ia adalah satu angka yang besar dan kajian juga mendapati kes-kes penipuan dalam talian berkenaan menunjukkan trend peningkatan yang agak ketara.

"Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Komersil sudah melaksanakan pelbagai tindakan penguatkuasaan dan pembanterasan namun kes jenayah penipuan dalam talian dilihat terus meningkat.

"Atas rasa tanggungjawab dalam memastikan kesejahteraan masyarakat terus terpelihara, pembabitan masyarakat dalam pencegahan jenayah komersil amat penting," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Forum Jenayah Dalam Talian, di pusat beli belah Imago, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Mazli Mazlan, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Datuk Jauteh Dikun dan Timbalan Pengarah Bahagian Jenayah Siber dan Multimedia JSJK Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Victor Sanjos.

Mengulas lanjut, Idris berkata, salah satu inisiatif yang lebih komprehensif perlu dilaksanakan bagi memastikan kes-kes jenayah penipuan dalam talian ini dapat diturunkan.

Katanya, Kempen Pencegahan Jenayah Komersil Tahun 2021 juga adalah inisiatif JSJK bagi memastikan masyarakat didedahkan segala ilmu pengetahuan berkaitan jenayah komersil.

"Menerusi tema 'Kesedaran Jenayah Komersil Kesejahteraan Komuniti' kempen ini adalah secara besar-besaran dijalankan sepanjang November ini di seluruh pelusuk negeri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 6:54 PM