RAMLI menunjukkan data dikumpul jabatannya berhubung jenayah komersial dalam tempoh lima tahun. FOTO Aswadi Alias.
RAMLI menunjukkan data dikumpul jabatannya berhubung jenayah komersial dalam tempoh lima tahun. FOTO Aswadi Alias.
Muhaamad Hafis Nawawi dan Suhanna Iskandar


Kuala Lumpur: Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) mencatatkan 156,029 kes dengan nilai kerugian lebih RM14 bilion sepanjang tempoh lima tahun bermula 2019 hingga 2023.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, jumlah itu juga menyaksikan peningkatan 53.2 peratus jenayah komersial tahun lalu berbanding lima tahun sebelumnya.

Menurutnya, pada 2019, hanya 26,330 kes dilapor dengan nilai kerugian RM6.22 bilion, diikuti 2020 yang merekod 27,323 kes (RM2.06 bilion kerugian), manakala 2021 mencatatkan 31,490 kes (RM2.21 bilion kerugian). "Kemudian, tahun 2022 mencatatkan kerugian yang paling rendah sepanjang lima tahun iaitu RM1.73 bilion dengan 30,536 kes dilaporkan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, sepanjang Januari hingga Disember tahun lalu, JSJK membuka 40,350 kertas siasatan dengan nilai kerugian RM2.1 bilion membabitkan pelbagai kesalahan jenayah komersil.

"Kes penipuan adalah kes tertinggi yang mana mencatatkan 36,030 kes, pecah amanah jenayah (1,215 kes), salah guna harta dengan curang (47 kes), jenayah siber (867 kes), pemalsuan (138 kes), wang palsu (970 kes), akta pemberi pinjam wang (994 kes) dan lain-lain kes sebanyak 89 kes.

"Kes-kes penipuan dalam talian yang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (kesalahan tipu) mencatatkan sejumlah 34,497 kes bersamaan 85.5 peratus dari jumlah keseluruhan kes," katanya.

Ramli berkata, JSJK menjalankan 18,221 operasi dan serbuan sepanjang tahun 2023 dan seramai 22,911 individu telah berjaya ditahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2024 @ 9:26 PM