GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Jenayah penipuan dalam talian dilaporkan terus meningkat membabitkan 2,804 kes sepanjang tempoh Januari 2019 hingga Oktober tahun ini, di negeri ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, semua kes penipuan itu membabitkan kerugian dianggarkan mencecah RM79.2 juta.

Katanya, ia adalah angka besar dan kajian mendapati kes penipuan dalam talian berkenaan menunjukkan trend peningkatan agak ketara.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Komersial sudah melaksanakan pelbagai tindakan penguatkuasaan dan pembanterasan, namun jenayah penipuan dalam talian dilihat terus meningkat.

"Justeru itu, atas rasa tanggungjawab dalam memastikan kesejahteraan masyarakat terus terpelihara, penglibatan masyarakat dalam pencegahan jenayah komersial amat penting," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Forum Jenayah Dalam Talian, di pusat beli-belah Imago, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Mazli Mazlan; Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sabah, Datuk Jauteh Dikun dan Timbalan Pengarah Bahagian Jenayah Siber dan Multimedia JSJK Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Victor Sanjos.

Mengulas lanjut, Idris berkata, salah satu inisiatif lebih komprehensif perlu dilaksanakan bagi memastikan kes jenayah penipuan dalam talian ini dapat diturunkan.

Katanya, Kempen Pencegahan Jenayah Komersil (Jenayah Atas Talian) Tahun 2021 adalah inisiatif JSJK bagi memastikan masyarakat didedahkan segala ilmu pengetahuan berkaitan jenayah komersial.

"Menerusi tema 'Kesedaran Jenayah Komersil Kesejahteraan Komuniti' kempen ini secara besar-besaran dijalankan sepanjang November ini di seluruh pelusuk negeri.

"PDRM meletakkan harapan amat tinggi supaya kempen ini berupaya mencapai matlamatnya, sekali gus menurunkan kadar jenayah komersial," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 7:43 PM