Idris menyerahkan sijil penghargaaan kepada anggota polis pada majlis perhimpunan bulanan IPK Sabah, Kota Kinabalu. FOTO JUWAN RIDUAN
Idris menyerahkan sijil penghargaaan kepada anggota polis pada majlis perhimpunan bulanan IPK Sabah, Kota Kinabalu. FOTO JUWAN RIDUAN
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah mencatatkan kedudukan empat terbaik dengan penyelesaian di seluruh negara.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, pencapaian itu berdasarkan penyelesaian membabitkan 75.68 peratus kes yang diterima sepanjang tahun 2022.

"Peratusan ini meletakkan IPK Sabah pada kedudukan ke empat dalam ranking penyelesaian kes jenayah di seluruh negara selepas kontinjen Sarawak, Kedah dan Perlis.

"Syabas diucapkan kepada seluruh warga JSK yang berusaha memberikan pencapaian terbaik dan diharap ia dapat ditambah baik lagi selepas ini," katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan IPK Sabah, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun.

Idris berkata, sepanjang tahun lalu, pihaknya merekodkan peningkatan jenayah indeks iaitu sebanyak 19.41 peratus membabitkan 4,103 kes berbanding 3,436 kes pada tahun 2021.

Katanya, bagi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) pula mencatatkan peningkatan bilangan tangkapan iaitu sebanyak 13,600 tangkapan berbanding 8,758 pada tahun sebelumnya.

"Manakala, nilai rampasan dadah pula menunjukkan penurunan iaitu sebanyak RM6.09 juta berbanding RM17.4 juta pada tahun 2021.

"Usaha secara agresif ini perlu dilakukan dengan meningkatkan operasi bersepadu bagi memastikan negeri ini tidak dijadikan pusat transit dadah ke rantau Asia Pasifik," katanya.

Sementara itu, Idris berkata, bagi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), IPK Sabah merekodkan penurunan kes dengan 7,025 kes berbanding 7,766 kes pada tahun 2021.

Namun katanya, nilai kerugian kes komersil meningkat kepada RM98.3 juta berbanding RM60.5 juta pada tahun sebelumnya.

"Tindakan agresif bagi kes penipuan dalam talian membabitkan kerugian yang besar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 January 2023 @ 2:07 PM