Rosman Shamsudin

Slim River: Seramai 100 penerima terdiri golongan B40, ibu tunggal, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) pelbagai kaum diraikan pada program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) Bersama Takaful IKHLAS di Dewan Terbuka Rumah Awam 3 di sini.

Program bersempena bulan kemerdekaan itu turut mendapat kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak dan penerima menerima barangan keperluan harian bernilai RM150 setiap orang.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas Family Berhad, Muhammad Fikri Mohamad Rawi berkata, kerjasama bersama Harian Metro membantu merealisasikan hasrat pihak Takaful IKHLAS membantu komuniti setempat.

Menurutnya, sebelum ini program yang sama diadakan di Klang, Selangor dan sumbangan untuk 100 lagi penerima akan diadakan di Seremban, Negeri Sembilan pada 20 September.

"Dana yang kita dapatkan ini adalah daripada IKHLAS Barakah House kerana di Takaful IKHLAS kita ada dana daripada pengumpulan zakat dan kutipan zakat serta sumbangan peserta yang memilih untuk mencarum serendah RM10 setiap bulan untuk diagihkan kepada golongan sasar.

"Program ini mendapat tindak balas yang amat memberangsangkan dan memberi motivasi dan galakan kepada pihak kami untuk memperbanyakkan lagi program seumpama ini dan kalau boleh dianjurkan bersama Harian Metro," katanya.

MUHAMMAD Safar (tiga  kanan) bersama Muhammad Fikri (kiri) serta Shamsudin (dua kanan) bersama sebahagian penerima yang hadir pada program Titipan Kasih Harian Metro bersama Takaful Ikhlas di Slim River. FOTO Hazreen Mohamad
MUHAMMAD Safar (tiga kanan) bersama Muhammad Fikri (kiri) serta Shamsudin (dua kanan) bersama sebahagian penerima yang hadir pada program Titipan Kasih Harian Metro bersama Takaful Ikhlas di Slim River. FOTO Hazreen Mohamad

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Sumbangan Bantuan Kotak Rezeki sempena Program TKHM Bersama Takaful IKHLAS di dewan berkenaan.

Hadir sama Pengarang Eksekutif (Kandungan) Harian Metro Muhamad Safar Ahmad, Timbalan Pengarah JKM Perak Shamsudin Osman, Pengarang Berita merangkap Pengarah Projek TKHM Noor Azam Ab Aziz, Penolong Pengarah Kanan Bahagian Komuniti JKM negeri Mohd Shukry Taharem dan Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Nor Fadilah Alias.

Muhammad Fikri berkata, sejajar dengan tema sambutan ulang tahun kemerdekaan tanah air yang ke-65 pada tahun ini iaitu Keluarga Malaysia Teguh Bersama mendorong pihak Takaful IKHLAS turun padang menyantuni golongan sasar tanpa mengira bangsa sama ada di bandar atau luar bandar.

"Bersempena bulan kemerdekaan program ini dijalankan menjadikan ia sangat selari sebagai rakyat Malaysia dan satu keluarga saling bantu membantu kerana ada rezeki itu, ada rezeki juga untuk orang lain," katanya.

Sementara itu, Muhammad Safar berkata, program TKHM adalah sebahagian inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) dianjurkan secara kaloborasi dengan syarikat korporat atau agensi kerajaan tanpa mengira latar belakang golongan sasar serta kaum di negara ini.

Katanya, program TKHM bermula pada 2007, kini memasuki tahun yang ke-16 dan berharap syarikat korporat lain tampil untuk bersama-sama pihak Harian Metro menjadi penaja membantu golongan terbabit.

SUKARELAWAN Harian Metro membantu mengagihkan bantuan kepada penerima. FOTO Hazreen Mohamad
SUKARELAWAN Harian Metro membantu mengagihkan bantuan kepada penerima. FOTO Hazreen Mohamad

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Ogos 2022 @ 8:10 PM
SEBAHAGIAN penerima mendaftar bagi menerima bantuan program Titipan Kasih Harian Metro Bersama Takaful Ikhlas. FOTO Hazreen Mohamad
SEBAHAGIAN penerima mendaftar bagi menerima bantuan program Titipan Kasih Harian Metro Bersama Takaful Ikhlas. FOTO Hazreen Mohamad