KEADAAN Sungai Klang terkini. FOTO Ihsan SMG
KEADAAN Sungai Klang terkini. FOTO Ihsan SMG
Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Lebih 75,000 tan metrik sampah dikeluarkan dari Sungai Klang di antara 2016 sehingga September lalu menerusi projek Selangor Maritime Gateway (SMG) di bawah anak syarikat kerajaan negeri, Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB).

Pengarah Urusan LLSB, Syaiful Azmen Nordin berkata, projek SMG adalah inisiatif kerajaan negeri dalam usaha memulihara Sungai Klang sepanjang 56 kilometer sejak 2016 sehingga kini.

"Sungai Klang tidak lagi antara sungai paling kotor di dunia di mana sejumlah 75,402 tan metrik sisa pepejal berjaya dikeluarkan di antara 2016 dan September lalu.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 50 peratus sampah organik seperti keladi bunting, tumbuh-tumbuhan, rumput, dahan pokok dikeluarkan.

"Sebanyak 50 peratus lagi sampah bukan organik di mana plastik menyumbang 80 peratus daripada keseluruhan sampah bukan organik, 20 peratus adalah bungkusan makanan dan minuman, aluminium, tin, barangan getah, tekstil dan sebagainya," katanya dalam kenyataan.

Syaiful Azmen berkata, Sungai Klang sering disenaraikan antara sungai terkotor di dunia tetapi keadaan itu berubah secara drastik dengan adanya inisiatif yang dilakukan kerajaan negeri.

"Sudah tiba masa Sungai Klang keluar dari senarai itu kerana kebanyakan sampah terapung sudah dikeluarkan dan anda boleh menaiki bot dari Pangkalan Batu ke Pelabuhan Klang tanpa perlu berhenti setiap 500 meter. Sungai ini menjadi lebih bersih dan semua orang boleh melihatnya," katanya.

Beliau berkata, Indeks Kualiti Air (WQI) kini pada Kelas III atau lebih baik 48 peratus daripada jumlah hari setahun pada tahun lalu.

"Justeru, sasaran kita 40 peratus pengurangan pengeluaran sampah dan mencapai WQI Kelas III atau lebih baik 70 peratus daripada jumlah hari dalam setahun menjelang 2022," katanya.

KEADAAN Sungai Klang pada 2016. FOTO Ihsan SMG
KEADAAN Sungai Klang pada 2016. FOTO Ihsan SMG

Dalam pada itu katanya, inisiatif mega SMG memulihara kawasan Sungai Klang dipergiatkan lagi setelah memasuki tahun akhir Fasa Pertama (2016-2022).

"Menjelang penghujung 2022, projek ini menyasar pengurangan jumlah pengeluaran sampah tahunan sebanyak 40 peratus berbanding jumlah kutipan tahun pertama, 2016.

"Kita menjangkakan pengurangan itu dijangka berada pada kadar 33 peratus

menjelang penghujung Disember nanti," katanya.

Beliau berkata, pihaknya mengenal pasti 38 lokasi berpotensi di hilir Sungai Klang untuk pemasangan atau penaiktarafan perangkap sampah, penyaring sampah atau 'mini log boom' di anak-anak sungai, longkang monsun dan kunci air yang akan mengekang pengaliran sampah terapung.

"Rancangan memperluaskan usaha membersihkan sungai ke saliran ini dibuat semasa sesi meja bulat baru-baru ini mengenai status Sungai Klang bersama Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK).

"Sesi meja bulat itu yang dipengerusikan oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) turut berbincang bagi mencari penyelesaian bersama Jabatan Pengairan Air dan Saliran (JPS) Selangor dan Unit Pembangunan Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 November 2021 @ 11:16 AM