AHMAD Zaharin mencuba memandu jengkaut sebagai gimik pelancaran pecah tanah pembinaan pusat kitar semula berkonsep baru pertama, disaksikan Ng.
AHMAD Zaharin mencuba memandu jengkaut sebagai gimik pelancaran pecah tanah pembinaan pusat kitar semula berkonsep baru pertama, disaksikan Ng.
Zaitie Satibi

Aktiviti kitar semula dikenal pasti sebagai satu langkah paling berkesan dalam usaha mengurangkan jumlah penjanaan dan penghantaran sampah dalam bentuk sisa pepejal ke tapak pelupusan yang semakin kehabisan ruang, selain dapat meningkatkan jangka hayat tapak pelupusan itu.

Sehubungan itu, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengambil pendekatan membina pusat kitar semula yang berkonsepkan moden dan mempunyai elemen kehijauan bagi memperkasakan budaya kitar semula dalam kalangan masyarakat.

Pembinaan pusat kitar semula yang pertama berkonsep sedemikian dijalankan dengan kerjasama 99 Speed Mart Sdn Bhd yang menyumbangkan sebanyak RM500,000 daripada hasil dana kutipan beg plastik yang dilaksanakan syarikat berkenaan sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam, Shahrin Ahmad berkata, pusat kitar semula yang pertama itu dibina di Setia Alam, Seksyen U13, Shah Alam untuk mendidik dan memberi kesedaran kepada orang ramai pentingnya menjadikan kitar semula sebagai amalan hidup masyarakat.

“Pusat kitar semula ini merangkumi tiga seksyen iaitu pejabat, galeri dan pusat pengumpulan yang menempatkan tiga tong kitar semula untuk plastik, aluminium dan kertas.

“Kami turut menyediakan satu ruang khas yang menempatkan satu tong untuk pengumpulan minyak masak terpakai sementara empat tong lagi untuk mengumpul bahan sisa elektronik (e-waste) seperti telefon bimbit dan komputer.

“Galeri bahan kitar semula juga akan ditempatkan untuk mendidik dan memberi kesedaran kepada masyarakat khususnya kanak-kanak berkenaan kepentingan kitar semula untuk diterapkan di dalam kehidupan seharian,” katanya.

PEMBINAAN pusat kitar semula berkonsep hijau pertama disumbangkan 99 Speed Mart Sdn Bhd yang diwakili Pengarah Eksekutifnya, Ng Lee Tieng (dua dari kiri) kepada Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Ahmad Zaharin (tiga dari kanan).
PEMBINAAN pusat kitar semula berkonsep hijau pertama disumbangkan 99 Speed Mart Sdn Bhd yang diwakili Pengarah Eksekutifnya, Ng Lee Tieng (dua dari kiri) kepada Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Ahmad Zaharin (tiga dari kanan).

Shahrin berkata, MBSA mengumpul sebanyak 433 tan sampah domestik sehari yang dihasilkan oleh penduduk dalam kawasan pentadbiran MBSA. Malah, sebanyak 164,145.74 tan sampah domestik diuruskan oleh pihaknya pada tahun lalu.

“Sampah terbabit dihantar ke pusat pelupusan sampah di Jeram, Selangor dan ketika ini sebanyak lima pusat kitar semula disediakan di kawasan pentadbiran MBSA iaitu di Seksyen 6, Seksyen 11, Seksyen 25, Seksyen 20 dan Seksyen U8.

“Namun, dengan pusat kitar semula yang baru ini masyarakat didedahkan dengan aktiviti pengurangan sisa sampah melalui pengasingan sampah dari rumah daripada bahan pameran dan carta di galeri.

“Pengurusannya akan dilaksanakan syarikat swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Oleh itu, kami berharap pusat kitar semula yang baru ini dapat memberi pendedahan yang meluas kepada komuniti setempat untuk lebih memahami kaedah pengurusan sisa yang betul,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga menyasarkan untuk mendidik dan mempromosikan kempen pengurangan sisa ‘No Plastic Bag’ kepada warga Shah Alam sebagai komitmen berterusan MBSA bagi memupuk sikap memelihara dan memulihara alam sekitar di setiap lapisan masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Julai 2018 @ 2:00 AM