JENTERA Interceptor 002 yang digunakan untuk membersihkan Sungai Klang. FOTO Ihsan The Ocean Cleanup
JENTERA Interceptor 002 yang digunakan untuk membersihkan Sungai Klang. FOTO Ihsan The Ocean Cleanup
Muhammad Saufi HassanNor ‘Asyikin Mat Hayin dan Muhamaad Razis Ismail dan Nurul Husna Mahmud


Kuala Lumpur: Sungai Klang pernah disenaraikan sebagai antara 50 sungai paling kotor di dunia.

Gambaran betapa kotornya sungai ini dahulu sehinggakan bot tidak dapat bergerak lebih daripada 500 meter sebelum enjinnya tersekat pada sampah.

Menyedari perkara itu, pada 2018, kerja pembersihan Sungai Klang dilestarikan di bawah projek Selangor Maritime Gateway (SMG).

Anak syarikat milik penuh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) diberi mandat oleh kerajaan negeri, Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) untuk menerajui projek SMG.

Projek ini meliputi jajaran 56 kilometer Sungai Klang bermula dari sempadan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sehingga ke muara sungai.

Pengarah Urusan LLSB Syaiful Azmen Nordin berkata, pada masa sama, sebuah organisasi bukan bermotifkan keuntungan dari Belanda, The Ocean Cleanup menghubungi pihaknya untuk menaja jentera Interceptor 002 untuk bersama-sama membersihkan Sungai Klang.

"Ini adalah lokasi kedua di dunia selepas Jakarta, Indonesia (lokasi prototaip) namun jentera ini adalah versi hybrid yang pertama di dunia untuk mencegah sampah-sarap di sungai daripada memasuki lautan.

"Interceptor 002 pertama di Malaysia di Sungai Klang beroperasi Oktober 2019, ia ditaja oleh The Ocean Cleanup sementara LLSB menanggung kos operasi dan penyelenggaraannya dengan sokongan daripada Westports Foundation," katanya.

Jelasnya, Interceptor 002 yang bergerak di sekitar sungai mampu memerangkap 50 hingga 100 tan metrik sampah sebulan.

"Sampah-sampah terapung yang dikumpulkan akan dimasukkan ke enam tempat pembuangan sampah mengikut algoritma yang ditetapkan.

"Apabila semua tempat pembuangan sampah penuh, sistem akan menghantar notis kepada operator untuk dikeluarkan sebelum sampah dibuang ke pusat pelupusan sampah," katanya.

Menurutnya, Interceptor 002 ini beroperasi secara automatik dengan menggunakan 100 peratus tenaga solar yang baik untuk alam sekitar selain menjimatkan kos operasi.

Menurut beliau, jentera berkenaan kini menjadi pelengkap kepada dasar kerajaan negeri Selangor dalam usaha pembersihan Sungai Klang.

"Interceptor 002 juga menyempurnakan usaha-usaha pembersihan sungai yang dijayakan oleh tujuh 'logboom' yang dipasang sepanjang 56 kilometer sungai di bawah SMG.

"Sejak digunakan, ia menampakkan hasil yang positif dengan penurunan jumlah pengeluaran sampah sarap daripada 1,500 tan metrik kepada 900 tan metrik sebulan sejak 2019.

"Selain itu, taraf kualiti air sebelum 2016 berada di kelas V juga berjaya ditingkatkan ke kelas III iaitu daripada status tercemar kini semakin pulih," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Julai 2021 @ 1:09 PM