Arjunaidi ketika sidang media di IPD Sepang. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Arjunaidi ketika sidang media di IPD Sepang. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Nurul Hidayah Bahaudin


Sepang: Perselisihan faham antara ahli kongsi gelap dipercayai menjadi motif pembunuhan seorang ceti haram atau along di hadapan sebuah restoran di Bandar Baru Bukit Tinggi, Klang pada 6 November lalu.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya menahan 16 suspek berusia 30-an hingga 40-an yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu dalam tangkapan berasingan di sekitar Lembah Klang dan Johor.

"Siasatan awal dilakukan mendapati suspek yang ditahan adalah ahli kongsi gelap Geng 24. Malah, mangsa berusia 47 tahun juga dipercayai ahli kongsi gelap.

"Bagaimanapun, siasatan lanjut sedang dilakukan dan kami dalam proses melengkapkan kertas siasatan sebelum dihantar ke Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, di sini, hari ini.

Arjunaidi berkata, hasil soal siasat dilakukan terhadap enam lelaki yang ditahan di sekitar Klang dan Banting pada 6 November lalu membawa kepada penahanan tiga lagi suspek di sebuah restoran di Bandar Baru Seri Petaling pada 10 November lalu.

"Pada 11 November lalu, kami menahan empat lagi lelaki tempatan di sekitar Muar dan Segamat, Johor dan mereka direman selama 13 hari bermula 11 hingga 23 November ini," katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas beberapa barang kes termasuk kereta Honda Accord bersama alat kawalan jauh, sehelai seluar pendek berwarna kelabu dan baju T yang dipercayai digunakan suspek ketika kejadian.

"Selain itu, kami turut merampas sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X70 bersama alat kawalan jauh yang digunakan selepas kejadian dan wang tunai berjumlah RM19,198 dipercayai upah untuk menetak mangsa.

"Dalam tangkapan di Johor pula, kami merampas sebuah kereta Toyota Camry bersama anak kunci dan kereta Toyota Vios yang menggunakan nombor pendaftaran palsu," katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan seorang lelaki berusia 47 tahun maut ditetak selepas makan tengah hari bersama dua anaknya di sebuah restoran di Bandar Bukti Tinggi, Klang pada 6 November lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal dipetik berkata, siasatan awal mendapati pembunuhan itu dipercayai membabitkan beberapa kumpulan kongsi gelap termasuk Geng 24, Geng 18 dan Five Colors serta beberapa geng lain.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 November 2021 @ 2:37 PM