Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Seramai 114 ahli kongsi gelap dari lima kumpulan kongsi gelap termasuk tujuh pemimpin kanan bergelar Datuk dan seorang Datuk Seri di berkas polis melalui Op Cantas Jenayah Terancang yang bermula pada 2015.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, mereka berusia antara 19 hingga 62 tahun, dipercayai terbabit dengan puluhan kes termasuk pembunuhan berprofil tinggi, samun, penculikan, pengedaran dadah dan mendatangkan kecederaan dengan sebahagian besar kes di Pulau Pinang, Johor, Perak dan Lembah Klang.

Beliau berkata, mereka yang ditahan didapati menganggotai Geng 04, Geng 21 Japan, Geng William, Geng 24 dan Geng 36 Devan yang dipercayai aktif melakukan pelbagai jenayah terancang di negara ini.

"Dalam operasi itu, polis turut merampas satu raifal, 22 pucuk pistol, 916 butir peluru, dadah bernilai RM1.75 juta serta wang tunai dan barang kemas berjumlah RM167,193.

"Dengan tertangkapnya mereka, kita yakin dapat menyelesaikan banyak kes bunuh berprofil tinggi dan jenayah terancang di negara ini," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Februari 2017 @ 12:26 PM
Pengarah JSJ Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh dan  Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh  melihat senjata api yang dirampas hasil Op Cantas Jenayah Terancang. - Foto MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Pengarah JSJ Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh dan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh melihat senjata api yang dirampas hasil Op Cantas Jenayah Terancang. - Foto MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI