Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Shah Alam: Kumpulan Lanun Merah 360 yang didakwa menjalankan kegiatan kongsi gelap bermula sebagai kumpulan pacuan empat roda (4x4) dikenali Lanun Merah.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya tidak menafikan kewujudan kumpulan berkenaan kerana sudah menyiasat sejak 2019 lalu.

"Kita tidak nafikan, malah kita sudah menyiasat kumpulan ini, cuma aktiviti yang dijalankan mereka tidak boleh dibuktikan dan tiada sebarang keterangan mengaitkan kumpulan berkenaan dengan aktiviti jenayah pada ketika itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.

Arjunaidi berkata, susulan artikel yang dikeluarkan oleh Harian Metro, pihaknya membuka semula kertas siasatan berhubung aktiviti kumpulan berkenaan.

"Polis membuka balik siasatan dan satu pasukan khas sudah ditubuhkan bagi melakukan siasatan terperinci berhubung kumpulan itu.

"Setakat ini individu yang dinyatakan tidak lagi ditahan. Rakaman percakapan wartawan yang melaporkan artikel berkenaan juga sudah diambil," katanya.

Arjunaidi Mohamed
Arjunaidi Mohamed

Semalam, Timbalan Pengarah Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Dev Kumar dilaporkan berkata siasatan berhubung kumpulan berkenaan masih di peringkat awal.

"Setakat ini, siasatan berhubung dakwaan itu masih di peringkat awal. Justeru, bagi kami (polis) masa untuk siasat berhubung dakwaan berkenaan.

"Sebaik ada keputusan (hasil siasatan) berhubung dakwaan itu, kami akan maklumkan kepada pihak media," katanya.

Terdahulu, Harian Metro menerusi laporan eksklusif mendedahkan aktiviti kumpulan kongsi gelap Geng Lanun Merah Black Maria 360 yang didakwa dianggotai tidak kurang 500 ahli yang menguasai pelbagai kegiatan jenayah di kawasan Klang.

Kumpulan yang aktif sejak 2013 ini dikatakan turut dipercayai didalangi seorang pegawai polis wanita.

Sebelum ini, Dev dipetik berkata, pihaknya akan menubuhkan pasukan khas bagi melakukan siasatan semula berhubung dakwaan kewujudan kumpulan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 April 2021 @ 4:00 PM