Idris Ahmad (tengah) menyaksikan penyerahan sumbangan dari Duta Besar Republik Rakyat China di Malaysia Ouyang Yujing (kanan) kepada Pengarah JAWI Datuk Mohd Ajib Ismail (kiri) pada majlis penyampaian sumbangan Kedutaan Republik Rakyat China di Malaysia kepada JAWI Food Bank di Kompleks Islam Putrajaya hari ini. FOTO BERNAMA
Idris Ahmad (tengah) menyaksikan penyerahan sumbangan dari Duta Besar Republik Rakyat China di Malaysia Ouyang Yujing (kanan) kepada Pengarah JAWI Datuk Mohd Ajib Ismail (kiri) pada majlis penyampaian sumbangan Kedutaan Republik Rakyat China di Malaysia kepada JAWI Food Bank di Kompleks Islam Putrajaya hari ini. FOTO BERNAMA
Oleh Samadi Ahmad


Putrajaya: Kedutaan Republik Rakyat China di Malaysia menyumbang RM100,000 kepada JAWI Food Bank bagi membantu golongan yang terkesan Covid-19.

Sumbangan disampaikan Duta Besar Republik Rakyat China di Malaysia, Ouyang Yujing kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Mohd Ajib Ismail dan disaksikan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad di Kompleks Islam Putrajaya hari ini.

Sumbangan bertujuan menjayakan misi bantuan Musaadah Covid-19 melalui program JAWI Food Bank bagi memberi manfaat kepada penerima dari pelbagai golongan dan agama di Wilayah Persekutuan seperti petugas barisan hadapan kesihatan dan keselamatan, B40, peniaga kecil, mualaf, ibu tunggal, pemandu teksi dan bas sekolah, pemandu p-hailing dan e-hailing, warga emas dan golongan kurang upaya (OKU) serta gelandangan.

Idris berkata, sumbangan mencerminkan hubungan akrab antara kedua-dua negara membabitkan pelbagai perkara sejak sekian lama.

Menurutnya, sumbangan itu adalah yang kali ketiga diterima sejak 2020 yang keseluruhannya berjumlah RM400,000.

Katanya, kerajaan Malaysia berbesar hati atas sumbangan diberikan dan sebelum kerajaan China juga ada menyumbangkan barangan kesihatan dan vaksin Covid-19 kepada rakyat di negara ini.

"Sehingga kini JAWI Food Bank dengan kerjasama rakan strategik telah mengagihkan sumbangan bantuan barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula dan tepung bernilai RM4.8 juta kepada golongan yang terkesan di Wilayah Persekutuan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian sumbangan itu.

Idris berkata, sumbangan Food Bank JAWI ini akan diagihkan kepada golongan yang terkesan tanpa mengira kaum dan agama.

Menurutnya, JAWI juga mengadakan Program Dapur It'am yang dimulakan sejak awal tempoh pandemik melanda negara dan lebih dua juta orang telah menerima manfaat daripada inisiatif ini membabitkan kos berjumlah RM16 juta.

Katanya, awal Oktober lalu, JAWI mengaktifkan semula Program Dapur It'am 6.0 dengan peruntukan berjumlah RM10.7 juta disalurkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sehingga 6 Mac tahun depan.

"Inisiatif ini dijangka dapat dimanfaatkan 8,400 penerima setiap hari, dengan jumlah keseluruhan seramai 1.2 juta individu sepanjang program itu berlangsung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 November 2021 @ 12:12 PM