Pengarah Jawi Datuk Mohd Ajib Ismail.
Pengarah Jawi Datuk Mohd Ajib Ismail.
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) meneruskan Program Dapur It'am 5.0 setiap hari, 7 hari seminggu bermula 4 Jun hingga 18 Julai ini.

Pengarah Jawi Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, ia adalah kesinambungan program yang dimulakan lebih setahun lalu berkonsepkan 'soup kitchen' yang berpusat di masjid dan surau di Wilayah Persekutuan untuk menyediakan edaran pek makanan bermasak secara percuma kepada golongan sasaran yang memerlukan.

Katanya, sebanyak 10,500 pek makanan bermasak akan disediakan 70 masjid dan surau terpilih di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan untuk diedarkan pada waktu tengah hari melalui wakil penduduk atau khidmat penghantar makanan.

"Seramai 472,500 orang dijangka menerima manfaat daripada inisiatif terdiri daripada asnaf, B40, petugas barisan hadapan, penduduk Projek Perumahan Rakyat, Projek Perumahan Awam yang dikenalpasti serta lain-lain golongan terkesan dan memerlukan di sekitar Wilayah Persekutuan.

"Program yang dijayakan melalui sumbangan peruntukan berjumlah RM3,780,000 daripada MAIWP ini adalah tanda keprihatinan terhadap golongan yang terkesan dan memerlukan dengan menyasarkan sifar lapar atau setiap keluarga mempunyai makanan di atas meja setiap hari.

"Ia juga bagi membantu setiap keluarga mendepani tempoh getir pandemik Covid-19 terutama sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Jun 2021 @ 5:04 PM