Hamazah (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO Wan Nur Amirah Wan Mohamed Redza
Hamazah (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO Wan Nur Amirah Wan Mohamed Redza
Raja Noraina Raja Rahim


Tampin: Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai pengedar dadah di daerah ini dan merampas dadah jenis heroin bernilai RM3,000 dalam serbuan Op Tapis, tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Tampin Superintendan Hamazah Ab Razak berkata, lelaki berusia 34 tahun terbabit ditahan di ladang kelapa sawit Kawasan Perindustrian Gemas dekat sini, jam 12 tengah hari.

"Suspek yang menunggang motosikal cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis, menyebabkan berlaku pergelutan sebelum ditahan. Hasil pemeriksaan, polis menemui 22 paket lutsinar disyaki dadah jenis heroin anggaran berat 40.51 gram.

"Malah, ujian air kencing ke atas suspek turut positif dadah. Suspek juga mempunyai empat rekod jenayah lampau membabitkan kes pecah rumah dan curi," katanya pada sidang media di IPD Tampin di sini, hari ini.

Menurutnya, suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Ogos 2016 @ 2:57 PM