Antara dadah dan alat digunakan untuk menghisap dadah yang dirampas daripada lima individu selepas ditahan di sebuah stesen minyak di Pekan Tampin, di sini, petang kelmarin. FOTO Ihsan Polis
Antara dadah dan alat digunakan untuk menghisap dadah yang dirampas daripada lima individu selepas ditahan di sebuah stesen minyak di Pekan Tampin, di sini, petang kelmarin. FOTO Ihsan Polis
Ahmad Hasbi


Tampin: Aktif merayau menjual dadah sambil ditemani kekasih hati. Itu tindakan tiga lelaki yang ditahan polis bersama dua teman wanita di Pekan Tampin, di sini.

Dalam pemeriksaan kira-kira jam 3.30 petang semalam, pihak polis turut merampas dadah dipercayai heroin seberat 58 gram dan syabu seberat 0.25 gram.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab berkata, ujian saringan awal terhadap semua suspek berusia 25 hingga 40 tahun itu mendapati empat daripada mereka positif mengambil dadah.

Menurutnya, lima suspek itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Tampin selepas didapati menaiki sebuah kereta berhampiran sebuah stesen minyak di Pekan Tampin di sini, dalam keadaan mencurigakan.

"Kami menahan tiga lelaki bersama dua wanita berumur lingkungan 25 hingga 40 tahun atas kesalahan memiliki dadah berbahaya jenis heroin dan syabu," katanya tadi.

Menurutnya, empat daripada lima suspek ditahan didapati positif dadah syabu dan morfin.

"Kami juga menemui satu botol lutsinar yang diubahsuai dipercayai digunakan untuk menghisap dadah," katanya.

Jelas Anuwal, kesemua suspek kini ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Pencegahan Jenayah selama tujuh hari dan disiasat di bawah Seksyen 39B, Seksyen 12(3) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Hasil siasatan awal mendapati dadah berkenaan untuk dijual sekitar Pekan Tampin dan Pulau Sebang, Melaka," katanya.

Caption: TAMPIN 13 MEI 2022. Antara dadah dan alat digunakan untuk menghisap dadah yang dirampas daripada lima individu selepas ditahan di sebuah stesen minyak di Pekan Tampin, di sini, petang kelmarin. Foto ihsan polis.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mei 2022 @ 5:38 PM