Julasapiyah memotong papan untuk membuat keranda sambil dibantu ahli  Persatuan Permuafakatan Penduduk Islam Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar
Julasapiyah memotong papan untuk membuat keranda sambil dibantu ahli Persatuan Permuafakatan Penduduk Islam Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


Masjid Tanah: Bertanding dalam empat Pilihan Raya Umum (PRU) sejak 1999 menjadikan Julasapiyah Kassim, 52, sebagai calon paling senior pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.

Empat kali menjadi calon ketika itu mewakili PAS untuk merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Linggi, menjadikan Penyelaras Parti Amanah Negara (Amanah) Parlimen Masjid Tanah itu sebagai calon paling banyak pengalaman, berbanding yang lain.

Selain PRU-10 pada 1999, beliau turut bertanding pada PRU-11 (2003), PRU-12 (2008) dan PRU-12 (2013).

Menyorot perjalanan politiknya, Julasapiyah yang juga anak jati Kuala Sungai Baru berkata, dia tidak pernah berputus asa untuk memenangi hati pengundi Dun Kuala Linggi untuk berkhidmat kepada masyarakat di kawasan itu.

"Segala pahit maung sudah saya lalui sepanjang empat kali menjadi calon PRU untuk menawarkan perkhidmatan kepada masyarakat di tempat kelahiran saya.

"Saya tidak pernah kecewa setiap kali tewas kerana hari ini saya kalah, esok saya tetap bertemu orang kampung pada majlis kenduri kahwin, rumah orang meninggal dunia, masjid, pasar malam dan seumpamanya," katanya ketika ditemui, hari ini.

Julasapiyah yang lebih mesra disapa 'Ustaz Julas' berkata, meskipun sibuk berkempen, dia dan ahli Persatuan Permuafakatan Penduduk Islam Kuala Sungai Baru tetap bergotong-royong membuat keranda untuk anak kariah kampung itu pada waktu senggang.

"PRN kali ini saya dan calon lain tidak boleh bersemuka dengan pengundi, tetapi saya tetap berjumpa mereka di warung kopi ketika bersarapan, makan tengah hari dan malam," katanya.

Julasapiyah berkata, dia menaruh harapan untuk diberikan peluang oleh pengundi bagi membawa suara mereka di Persidangan Dun, selain berjanji membantu memajukan sektor perikanan, pelancongan dan pendidikan.

Pada PRN, Julasapiyah berdepan saingan empat penjuru, dicabar calon Barisan Nasional, Rosli Abdullah, Aziah Mohd Saad (Perikatan Nasional) dan Kamisan Palil (Bebas).

  • Lagi berita berkaitan PRN Melaka
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 November 2021 @ 3:04 PM