AB Rauf (kiri) beramah mesra dengan anggota komuniti ketika menikmati sarapan di warung kopi Kampung Ayer Limau, Masjid Tanah. FOTO HASSAN OMAR
AB Rauf (kiri) beramah mesra dengan anggota komuniti ketika menikmati sarapan di warung kopi Kampung Ayer Limau, Masjid Tanah. FOTO HASSAN OMAR
Hassan Omar


Masjid Tanah: Lima kerusi Barisan Nasional (BN) dalam Parlimen Masjid Tanah diyakini selamat dan menjadi penyumbang terbesar kepada jumlah boleh dimenangi.

Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, berdasarkan gerak kerja jentera pilihan raya yang sudah masuk hari ketiga kempen, hari ini, BN yakin kelima-lima kerusi itu akan kekal di bawah parti berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Selain kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Tanjung Bidara ditandingi Ab Rauf, empat lagi Dun adalah Ayer Limau diwakili Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer, Kuala Linggi (Rosli Abdullah), Lendu (Datuk Seri Sulaiman Md Ali) dan Taboh Naning (Zulkiflee Mohd Zin).

"Kita buat kerja sudah masuk hari ketiga dan saya dapati sambutan masyarakat terhadap calon BN sangat baik.

"Walaupun tidak boleh berkempen secara bersemuka, kita boleh bersarapan dengan mereka (masyarakat) untuk menjelaskan misi dan visi BN dalam usaha memajukan negeri ini," katanya ketika ditemui ketika bersarapan bersama komuniti di Kampung Ayer Limau, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Ab Rauf meminta calon BN di Parlimen itu dan 23 lagi kerusi lain supaya melipatgandakan usaha memberi penjelasan kepada pengundi sama ada dengan menggunakan media sosial atau melalui edaran risalah berkaitan calon dan BN.

Beliau berkata, walaupun kelima-lima kerusi itu menjadi milik BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018, ia tetap perlu dijaga dengan baik kerana hati pengundi tidak mampu dibaca sesiapa pun.

"Walaupun Tanjung Bidara dimenangi BN pada PRU-14 dengan majoriti 2,864, saya tidak memandang rendah kemampuan calon lain daripada Perikatan Nasional (PN), Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Pakatan Harapan (PH), Zainal Hassan.

"Saya tidak pandang rendah kemampuan Mas Ermieyati sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah kerana dia sudah dua penggal berkhidmat. Begitu juga calon PH yang sebelum ini pernah berkhidmat sebagai ketua masyarakat di Padang Kemunting," katanya.

Ab Rauf berkata, calon BN tidak harus kecewa dengan prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menyebabkan tidak mampu berkempen secara bersemuka pada PRN Melaka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 November 2021 @ 6:33 PM