Hidayatidayu Razali


Bachok: "Hujan selama dua hari menyebabkan banjir dan kawasan rumah saya dinaiki air hingga setengah meter. Walaupun air tidak masuk ke dalam rumah, namun kediaman kami terkepung menyebabkan penduduk di kawasan ini segera berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) malam tadi," kata Anita Abdul Hassan, 35.

Anita yang juga penduduk Taman Siti Jaya, Jelawat berkata, sebaik melihat limpahan air, dia bersama suami segera memindahkan barangan berharga termasuk peralatan elektrik ke tempat lebih tinggi.

Katanya, setakat ini air hanya melimpah di halaman rumah, namun sekiranya hujan berterusan tentunya air akan naik lagi dan berkemungkinan akan berlaku banjir lebih besar.

"Lokasi ini rendah dan setiap tahun air akan naik apabila hujan lebat yang berterusan lebih daripada sehari. Kami bimbang dengan keselamatan diri dan mengambil keputusan berpindah ke PPS di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jelawat.

"Sejak saya tinggal di kawasan ini lapan tahun yang lalu, banjir kerap berlaku, namun kami sudah membuat persediaan awal sebaik melihat hujan lebat," katanya.

TINJAUAN di Perumahan Taman Siti Jaya mendapati air melimpah berikutan saluran longkang yang tidak dapat menampung jumlah air. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
TINJAUAN di Perumahan Taman Siti Jaya mendapati air melimpah berikutan saluran longkang yang tidak dapat menampung jumlah air. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Tinjauan di Perumahan Taman Siti Jaya mendapati air melimpah berikutan saluran longkang yang tidak dapat menampung jumlah air yang banyak menyebabkan air masuk ke kawasan kediaman penduduk.

Sementara itu, Penghulu Mukim Surau Bator Abdul Ghani Zikri Awang berkata, beliau segera membuat tinjauan di lokasi itu kerana hampir setiap tahun berlaku banjir.

"Jumlah hujan yang banyak menyebabkan limpahan air di perumahan ini, namun saya difahamkan kesemua penduduk di 10 buah rumah sudah berpindah iaitu lima keluarga ke PPS SMK Jelawat dan selebihnya berada di rumah keluarga masing-masing.

"Saya dapati ada rumah yang dinaiki air dan kesemua mereka membuat persediaan awal apabila segera berpindah untuk menjamin keselamatan diri," katanya.

Menurutnya, beberapa lokasi di Jelawat sering dinaiki air iaitu di perumahan itu, Kampung Bator Harmoni dan Pak Badol.

Terdahulu, PPS yang pertama dibuka di Kelantan iaitu SMK Jelawat mula dibuka sejak malam tadi dan sehingga 2 petang seramai 24 individu daripada lima keluarga yang berpindah ke PPS berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 November 2021 @ 3:36 PM