Mohamed Farid Noh


Kota Tinggi: Banjir yang menjejaskan 162 mangsa di Taman Desaru Utama, di Bandar Penawar, di sini, tidak dijangka kerana kawasan itu tidak disenaraikan sebagai 'hot spot' banjir.

Sehubungan itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pengerang (MPP), Fizwan Mohd Rashidi, menasihatkan penduduk di kawasan rendah di Desaru dan Pengerang berjaga-jaga dengan amaran cuaca dikeluarkan selain mematuhi arahan pihak berkuasa untuk berpindah.

Katanya, banjir yang melanda kawasan itu kira-kira jam 5.30 pagi tadi adalah susulan hujan lebat lebih lima jam.

"Berikutan hujan yang begitu lebat, air Sungai Cemaran yang terletak hanya kira-kira 200 meter dari rumah penduduk melimpah sehingga menenggelamkan rumah penduduk ke paras 0.3 meter.

"Kawasan perumahan itu juga berdekatan hulu Sungai Lebam menyebabkan ia bertembung dengan Sungai Cemaran. Berikutan saliran perparitan yang tidak dapat menampung pertambahan air yang naik mendadak akibat hujan lebat, ia menyebabkan kawasan itu banjir.

"Taman Desaru Utama tidak disenaraikan sebagai kawasan 'hot spot' banjir apatah lagi sebelum ini pada 2019, air bah hanya menaiki jalan raya saja, bukan rumah penduduk.

"Banjir di kawasan ini dipercayai berikutan saliran laluan perparitan dari taman itu ke Sungai Cemaran tidak cukup besar mengakibatkan ia melimpah menenggelamkan rumah penduduk," katanya ketika ditemui.

Terdahulu, Fizwan meninjau mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Muafakat Taman Desaru Utama, di sini.

Pagi tadi, media melaporkan kira-kira 30 keluarga membabitkan 162 mangsa terjejas selepas rumah mereka dinaiki air bah pada jam 5.30 pagi tadi.

Dalam pada itu, Fizwan berkata keadaan sempit atau disebut 'bottle neck' di saliran perparitan taman itu menuju ke Sungai Cemaran menyebabkan banjir yang berlaku kali ini agak teruk.

"Pegawai Daerah, Datin Paduka Hazlina Jalil sudah mengarahkan supaya saliran perparitan di taman ini menuju ke Sungai Cemara supaya dibesarkan lagi.

"Malah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) diarahkan segera untuk melakukan kerja pendalaman Sungai Cemara berikutan ramalan cuaca buruk pada hujung bulan sehingga awal tahun depan memungkinkan banjir berulang semula jika fenomena air pasang besar bertembung hujan lebat," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan supaya penduduk supaya segera berpindah apabila hujan lebat berulang semula berikutan air pasang besar dijangka berlaku.

"Ada penduduk tidak mahu berpindah dengan alasan mahu mengemas dan menjaga rumah selepas air beransur surut tengah hari tadi.

"Namun keadaan cuaca dijangka akan hujan berterusan minggu ini dan kita harap penduduk sentiasa peka dengan amaran dikeluarkan dan mematuhi arahan pindah jika ia dikeluarkan," katanya.

FIZWAN bertanya khabar mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Muafakat Taman Desaru Utama, Bandar Penawar. FOTO Nur Aisyah Mazalan.
FIZWAN bertanya khabar mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Muafakat Taman Desaru Utama, Bandar Penawar. FOTO Nur Aisyah Mazalan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2022 @ 5:00 PM