RAIZAN  (kanan) melihat longkang yang dipenuhi sampah menyebabkan masalah banjir kilat akibat saliran tidak betul di Jalan Ikan Jelawat 3, Kampung Tasik Ampang Campuran.
RAIZAN (kanan) melihat longkang yang dipenuhi sampah menyebabkan masalah banjir kilat akibat saliran tidak betul di Jalan Ikan Jelawat 3, Kampung Tasik Ampang Campuran.
Iqhram Ahmad


AMPANG: “Kejadian banjir kilat ini sudah lebih 20 tahun berlarutan kerana longkang terbabit tidak diselenggarakan dengan teratur sekali gus membebankan penduduk berhampiran.”

Begitu dakwa penduduk, Raizan Zainal Abidin, 45, apabila rumahnya di Kampung Tasik Ampang Campuran di sini, kerap dilanda banjir kilat berikutan air longkang melimpah jika hujan lebat.

Raizan berkata, jika berlaku hujan lebat, dia sekeluarga dan jiran bimbang kerana air longkang melimpah sehingga masuk ke dalam rumah.

Menurutnya, keadaan itu berlaku berikutan aliran air tersekat kerana longkang dipenuhi sampah sarap selain kehadiran kilang di kawasan berhampiran.

“Jika hujan lebat berpanjangan, keadaan menjadi teruk apabila air longkang melimpah sekali gus menyebabkan berlaku banjir kilat setinggi 0.5 meter.

“Ia memaksa kami sekeluarga mencuci kotoran. Sampah-sarap serta binatang liar seperti ular dan biawak juga memasuki kawasan rumah hingga membuatkan kami risau,” katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.

Sementara itu, penduduk yang mahu dikenali sebagai Wong, 70, berkata, dia menanggung kerugian hampir RM15,000 akibat kerosakan perabot dan peralatan elektrik kerana banjir kilat terbabit.

“Air longkang berwarna hitam dan berbau busuk bertakung sekali gus menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

“Tangan dan kaki saya ‘rosak’ akibat kerap mencuci air longkang yang memasuki kawasan rumah,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Majlis Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Zulkifli Ibrahim berkata, pihaknya berusaha menyelesaikan masalah berkenaan kerana menerima banyak aduan.

“Kami akan bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk menyelesaikan masalah berkenaan bagi memberi keselesaan kepada penduduk terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2019 @ 7:00 AM