ROKIAH menunjukkan laporan polis mengenai kejadian cubaan samun lelaki bersenjatakan parang di hadapan rumahnya di Kampung Kadok, Kota Bharu, semalam. FOTO Ihsan Rokiah Yusoff
ROKIAH menunjukkan laporan polis mengenai kejadian cubaan samun lelaki bersenjatakan parang di hadapan rumahnya di Kampung Kadok, Kota Bharu, semalam. FOTO Ihsan Rokiah Yusoff
Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Suri rumah berdepan detik cemas apabila diacu parang oleh lelaki berpelitup muka dalam cubaan samun di Kampung Kadok, di sini, semalam.

Dalam kejadian pada 1.15 tengah hari, mangsa Rokiah Yusoff, 60, mendakwa baru pulang dari kedai dengan memandu kereta sebelum menyedari diekori penunggang motosikal.

Rokiah berkata, dia memasuki halaman rumah sebelum keluar dari kereta dan ingin memasuki rumah.

"Sebelum masuk ke dalam rumah, lelaki berusia 30-an itu dilihat dua kali lalu lalang di hadapan rumah sebelum menghentikan motosikalnya.

"Saya bertanya tujuannya dan tanpa menjawab, lelaki yang memakai pelitup muka turun menghampiri saya sambil membawa sebilah parang yang dibalut dengan kain hitam.

"Dia menyuruh saya diam sambil mengacu senjata itu dan mengarahkan saya menanggalkan seutas gelang emas di tangan kanan," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Rokiah berkata, dia kemudian bertindak berlari ke rumah jiran sambil menjerit meminta tolong, tetapi malangnya jirannya itu tiada di rumah.

Katanya, lelaki terbabit dilihat meninggalkan perkarangan rumahnya sambil menunggang motosikal sebelum dia menghubungi ahli keluarga yang lain berhubung kejadian.

"Saya membuat laporan di Balai Polis Ketereh dan sehingga kini masih trauma dan terbayang-bayang kejadian itu," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 November 2021 @ 5:58 PM