Faliq Lajim


“JANGAN sentuh cucu aku. Rumah ini tiada apa-apa.” Itu kata Fatimah Abdullah, 72, kepada sekumpulan lelaki bermotosikal yang menyamun keluarganya dengan parang di rumah mereka di Kampung Raja Uda di Pelabuhan Klang, semalam.

Dalam kejadian jam 3.05 petang itu, warga emas berkenaan sedang mengambil daun limau purut di hadapan rumah untuk memasak rendang.

Fatimah berkata, dia tiba-tiba didatangi tujuh lelaki menaiki empat motosikal berasingan dan bertopi keledar yang meluru ke arahnya lalu mengacukan parang.

“Pada waktu itu, pintu rumah memang terbuka kerana seorang anak saya (Noraini Abdul Rani, 34) berniaga makanan ringan di luar rumah.

“Saya ketika itu tidak berfikir apa-apa kecuali keselamatan anak dan cucu saya. Mereka mengarahkan saya supaya diam dan masuk ke dalam rumah,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

Sementara itu, Noraini berkata, ketika kejadian dia sedang melipat kain di ruang tamu rumah sambil menghayun buaian anaknya.

“Namun, saya terkejut melihat empat lelaki masuk ke dalam rumah dengan berparang, manakala tiga lagi rakan mereka berada di luar.

“Mereka hanya sempat mengambil telefon bimbit saya sebelum keluar melarikan diri,” katanya memaklumkan kejadian berlaku amat pantas iaitu kurang daripada dua minit.

Dia kemudian membuat laporan di Balai Polis Pelabuhan Klang untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, siasatan menyeluruh sedang dijalankan pihaknya mengikut Seksyen 395/397 Kanun keseksaan.

“Kita setakat ini menerima dua laporan polis berkaitan kejadian samun dalam rumah oleh sekumpulan lelaki bersenjatakan parang yang menaiki motosikal jenis Yamaha 125Z dengan nilai kerugian kira-kira RM15,000.

“Kejadian sama turut dilaporkan berlaku di beberapa kawasan di Lembah Klang dipercayai dilakukan oleh kumpulan sama,” katanya.

Justeru, kata beliau, pihaknya menubuhkan satu pasukan khas bagi mengesan dan menahan semua penjenayah berkenaan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33719999 atau balai polis berdekatan untuk tindakan lanjut.

Berita berkaitan

Nyaris ditetak penyamun [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Februari 2019 @ 6:14 PM