Nor Amalina Alias


Pasir Puteh: "Kami sangka air akan surut, malangnya naik mendadak sekelip mata, macam bah 2014," kata seorang mangsa banjir, Rokiah A Ghani, 62, dari Kampung Wakaf Bunut, di sini.

Rokiah berkata, air mula melimpah di kediamannya jam 2 petang semalam menyebabkan dia dan suami, Samsudin Awang, 66 yang juga pesakit angin ahmar dan dua anak terperangkap kira-kira lima jam sebelum diselamatkan.

Katanya, dia hanya sempat menyelamatkan peti sejuk dan hanya mampu melihat barangan elektrik lain, pakaian keluarga dan ternakan ayamnya dihanyutkan arus.

"Kami tak sempat buat apa-apa sebab air naik terlalu cepat, macam ombak malah dalam tempoh beberapa minit air naik dari paras lutut hingga paras pinggang.

"Suami yang tak dapat berjalan, terpaksa berendam kesejukan dalam air sehingga anggota penyelamat datang ambil kami, mujurlah dia tidak kena sawan," katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Kamil 3, di sini, hari ini.

Warga emas itu antara 219 mangsa daripada 64 keluarga yang ditempatkan di enam PPS di daerah ini sehingga jam 2 petang.

Banjir di Pasir Puteh membabitkan 13 kampung antaranya Kampung Saring, Gong Serapat, Bukit Gedombak, Jerat Semata, Dalam Kemunting, Daran Buaya, Bukit Bidang, Lepah, Nering, Wakaf Gunung, Gong Pasir,Tok Kundur dan Gong Kala.

Rokiah berkata, banjir kali ini agak teruk kerana dalam tempoh sehari sahaja air sudah naik melebihi satu meter.

Katanya, rumahnya memang sering dinaiki air pada musim tengkujuh namun tidak secepat kejadian petang semalam.

"Saya teringat masa bah 2014 lalu, lebih kurang macam kejadian semalam, biasanya saya akan papah suami masa nak selamatkan diri, tapi semalam lebih teruk sebab arus terlalu laju dan kami hanya mampu menunggu bantuan tiba," katanya.

Seorang lagi mangsa banjir, Siti Khadijah Yusoff, 73 berkata, dia dan anaknya, Che Arifin Che Wil, 37 yang juga orang kurang upaya (OKU) terpaksa mengharung air sehingga 0.4 meter untuk ke PPS jam 10 malam tadi.

Mangsa banjir, Rokiah A Ghani, 62 bersama suami, Samsuddin Awang, 66 yang mengalami strok sebelah badan bahagian kanan, terperangkap lima jam selepas rumah mereka dinaiki air ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Kamil 3, Pasir Puteh. FOTO Nor Amalina Alias
Mangsa banjir, Rokiah A Ghani, 62 bersama suami, Samsuddin Awang, 66 yang mengalami strok sebelah badan bahagian kanan, terperangkap lima jam selepas rumah mereka dinaiki air ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Kamil 3, Pasir Puteh. FOTO Nor Amalina Alias

Katanya, setiap kali musim banjir, rumahnya akan dinaiki air setinggi tiga meter jika hujan tidak berhenti.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat turut melawat PPS berkenaan bersama Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Azmir Damiri dan Ketua Jajahan Bachok, Ab Pattah Hasbullah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2020 @ 4:32 PM