MASRI (empat dari kanan) bersama pelukis yang menjayakan projek mencantikkan Lorong Seni Seremban dengan gambar mural sempena Seremban 100 tahun, hari ini. FOTO Mohd Amin Jalil
MASRI (empat dari kanan) bersama pelukis yang menjayakan projek mencantikkan Lorong Seni Seremban dengan gambar mural sempena Seremban 100 tahun, hari ini. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil


Seremban: Tiga lorong belakang premis perniagaan di pusat bandar ini dijadikan Lorong Seni Seremban sebagai tarikan baharu pelancong ke Negeri Sembilan.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban (MBS) Datuk Masri Razali berkata, inisiatif itu merangkumi kerja menaik taraf jalan, longkang, mengecat mural dan pemasangan lampu jalan serta hiasan yang dilaksana berfasa.

Katanya, pihaknya juga berhasrat memohon pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai lorong seni terpanjang di Malaysia selepas memperoleh 'rating' 4.3/5 bintang daripada Google.

"Projek ini sudah bermula pada 2019 membabitkan tiga lorong utama bermula Jalan Dato Sheikh Ahmad sehingga Jalan Dato Abdul Rahman sejauh 250 meter.

"Bagaimanapun, pada 20 Ogos lalu MBS meningkatkan lagi keindahan lorong menerusi projek mengecat mural pada hampir seluruh bangunan yang ada selain membina landskap untuk menjadikannya sebagai lorong seni terpanjang dalam negara.

"Ia dijangka siap pada 26 November dengan keseluruhan peruntukan RM1.2 juta termasuk kos kajian pejalan kaki oleh pihak perunding sebagai tarikan pelancongan," katanya ditemui pada Majlis Gimik Pelancaran Mural dan Libat Urus Bersama Pelajar Kolej, Belia, NGO, Pelukis dan Media di Lorong Seni Seremban sempena Seremban 100 tahun di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Masri berkata, terdapat lebih 30 lukisan mural yang memperindahkan Lorong Seni Seremban, dihasilkan enam pelukis tempatan.

"Melalui usaha ini, kita yakin dapat mengikis stigma negatif segelintir pihak terhadap lorong di belakang bangunan, malah kami menggalakkan aktiviti jualan produk, hiburan dan riadah di lorong seni ini bagi merancakkan sumber ekonomi penduduk tempatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 November 2021 @ 4:00 PM