PEMANDANGAN Lorong Seni Seremban.
PEMANDANGAN Lorong Seni Seremban.
Mohd Amin Jalil


STIGMA negatif terhadap lorong di belakang bangunan dan premis perniagaan diubah menerusi projek lukisan mural gergasi bersepadu oleh Majlis Bandaraya Seremban (MBS).

Inisiatif itu dilakukan bagi menjadikan kawasan Lorong Seni Seremban lebih 'hidup', menarik dan unik.

Pelbagai motif diketengahkan pada lukisan mural yang dihasilkan lima pelukis tempatan di sepanjang lorong sejauh 250 meter (m) itu.

Lorong seni itu juga dikatakan antara yang terpanjang di Malaysia.

Sebelum ini, keadaan tiga lorong di belakang bangunan di tengah-tengah pusat bandar raya Seremban, Negeri Sembilan itu begitu 'memualkan.'

Selain keadaan perparitannya yang kotor, dinding belakang bangunan lama itu juga dipenuhi kulat.

Namun, pemandangan kawasan itu kini berubah sepenuhnya dan lebih indah serta ceria selepas projek melukis mural berkenaan dilakukan.

Malah, laluan berkenaan yang dulunya sepi kini menjadi tarikan orang ramai termasuk pelancong dari luar negara untuk melihat dari dekat lukisan mural unik itu.

Tidak hairanlah, Lorong Seni Seremban itu turut mendapat 'rating' sebanyak 4.3/5 bintang daripada pihak Google.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban, Datuk Masri Razali berkata, pihaknya menaik taraf laluan berkenaan bagi menjadikannya satu tarikan baharu di Negeri Sembilan terutama di bandar raya Seremban.

Kata beliau, projek itu merangkumi kerja menaik taraf jalan, longkang, mengecat mural dan pemasangan lampu jalan serta lampu hiasan dilaksanakan secara berfasa.

"Projek itu membabitkan tiga lorong utama bermula dari Jalan Dato Sheikh Ahmad sehingga Jalan Dato Abdul Rahman sejauh 250m.

"Keindahan lorong itu ditingkatkan lagi menerusi projek mengecat mural pada seluruh bangunan selain membina landskap bagi menjadikannya sebagai lorong seni terpanjang di negara ini.

"Sebanyak RM1.2 juta dibelanjakan bagi menjayakan projek berkenaan termasuk membabitkan kos kajian pejalan kaki di bandar Seremban sebagai tarikan pelancong," katanya ketika ditemui.

Menurut Masri, terdapat lebih 30 lukisan mural dihasilkan lima pelukis tempatan itu bagi menjadikan Lorong Seni Seremban sebagai tarikan baharu di Negeri Sembilan.

"Selain memperindahkan lorong berkenaan, aspek keselamatan pengunjung juga diberikan perhatian dengan pemasangan lampu jalan dan hiasan serta kamera litar tertutup.

"Ia bagi memastikan pencahayaan yang cukup pada waktu malam selain mengesan sebarang kelakuan jenayah," katanya.

Masri berkata, pihaknya memperkenalkan konsep 'tourism friendly city' atau bandar mesra pelancongan yang memudahkan pelancong menerokai keunikan bandar raya Seremban sebagai bandar selamat.

Kata Masri, melalui usaha itu, pihaknya yakin dapat mengikis stigma negatif segelintir pihak terhadap lorong di belakang bangunan yang kotor dan busuk.

MASRI (tengah) bersama pelukis mural.
MASRI (tengah) bersama pelukis mural.

Beliau berkata, pihaknya turut memberi galakan bagi aktiviti jualan produk, hiburan dan riadah di lorong seni itu bagi merancakkan sumber ekonomi penduduk tempatan.

"Kami mahu Lorong Seni Seremban dapat membuka peluang kepada penduduk tempatan membuka perniagaan dengan konsep santai.

"Malah, kami juga berharap Lorong Seni Seremban akan menjadi antara pusat kesenian dan kebudayaan di pusat bandar raya seperti yang wujud di Melaka menerusi persembahan muzik jalanan.

"Untuk itu, kami merancang memohon Lorong Seni Seremban ini dicatatkan dalam Malaysian Book Of Records (MBOR) sebagai lorong seni terpanjang di negara ini," katanya.

Ketua kumpulan pelukis mural berkenaan, Mohd Nizam Jantan atau kartunis Ciku berkata, pengalaman berkecimpung dalam bidang kartunis bersama Majalah Ujang sebelum ini banyak membantunya menghasilkan kreativiti dalam lukisan mural berkenaan.

Kata Mohd Nizam, dia mengkhusus kepada lukisan kartun manakala empat rakan lain mempunyai konsep yang berbeza dan lebih berat termasuk bermotifkan tokoh serta lukisan individu ternama.

"Kebanyakan lukisan di sini adalah lukisan hidup, jadi pelukis perlu bermain dengan tona warna yang pelbagai dan mengambil masa untuk disiapkan.

"Semua itu adalah cabaran yang dihadapi pelukis untuk menghasilkan satu lukisan yang terbaik dan berkualiti," katanya.

Mohd Nizam berkata, pihaknya bangga diberikan amanah menjayakan projek berkenaan kerana ia suatu daripada usaha mempromosikan Negeri Sembilan kepada pelancong.

Menurutnya, lebih daripada 100 tin cat digunakan bagi menyiapkan projek terbabit.

"Konsep yang diketengahkan MBS itu adalah unik dan sesuai sebagai satu medium untuk menarik pelancong sama ada dari dalam atau luar negara.

"Lorong seni ini memiliki tarikan tersendiri dan bagi pihak pelukis yang terbabit, kami gembira dapat turut sama membantu memberikan sumbangan," katanya.

Sementara itu, pengunjung, Zakinna Wati Ahmad Tarmizi, 33, mengakui teruja dengan keunikan lukisan mural di Lorong Seni Seremban.

Katanya, ia adalah satu-satunya lorong seni paling menarik yang pernah dikunjungi kerana lukisannya menampilkan pelbagai motif.

"Bukan sahaja imej tokoh terkenal seperti penyanyi Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Saloma, Sudirman Haji Arshad dan Datuk David Arumugam daripada kumpulan Alleycat, malah turut menampilkan imej Negeri Sembilan sebagai negeri Adat Perpatih," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Februari 2022 @ 7:00 AM