HUJAN sejak pagi diganti pula dengan bahang mentari namun tidak mematahkan semangat mereka untuk menyumbangkan tenaga di Chow Kit.
HUJAN sejak pagi diganti pula dengan bahang mentari namun tidak mematahkan semangat mereka untuk menyumbangkan tenaga di Chow Kit.
WAJAH Sarjan Mejar Krishna Moorthy (tengah) yang bertugas di Balai Polis Chow Kit turut diabadikan oleh artis Andi Ramdani (kiri) dan Tristram Miravalles (kanan).
WAJAH Sarjan Mejar Krishna Moorthy (tengah) yang bertugas di Balai Polis Chow Kit turut diabadikan oleh artis Andi Ramdani (kiri) dan Tristram Miravalles (kanan).
DARI lakaran jelas kelihatan wajah penyanyi nombor 1 Asia, Sudirman Haji Arshad.
DARI lakaran jelas kelihatan wajah penyanyi nombor 1 Asia, Sudirman Haji Arshad.
Siti Salmiah A Hamid


Kawasan ini dahulu pernah menarik lebih 100,000 penonton kerana mahu menyaksikan konsert terbuka penyanyi nombor satu Asia, Sudirman Haji Arshad yang berlangsung di jejantas Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur pada 14 April 1986.

Konsert jalanan secara percuma ini sebagai tanda terima kasih beliau kepada peminatnya yang tidak mampu menyaksikan persembahannya di hotel dan dewan konsert.

Jalan Chow Kit sinonim sebagai gelanggang golongan marhaen, diwakili pelbagai kaum dan agama daripada pelbagai latar belakang.

Selepas 30 tahun, meskipun menerima sentuhan pembangunan kehidupan kelam di sebalik lorong di Jalan Chow Kit wujudnya pelbagai masalah yang sentiasa dipantau pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan.

Dinding kosong di sebalik deretan kedai dua tingkat di Jalan Haji Taib itu sememangnya kelihatan kelam dan suram warnanya.

Persekitaran itu turut ‘dihiasi’ bau hapak dan hanyir sampah sarap yang bersepah dan tidak diselenggara dengan baik.

Ketika siang kelihatan perniagaan borong berjalan seperti biasa namun pada waktu malam, kawasan ini menjadi tumpuan pekerja seks, penjual ubat ‘kuat’ sementara penagih dadah menghuni di lorong yang tak bernama.

Ia bukanlah pengalaman kali pertama penulis berada di kawasan terbabit namun keadaan sedemikian mampu menakutkan pengunjung yang ‘tersesat’ di sana.

Namun, kegigihan sekumpulan pelukis negara perlu diberi pujian kerana berusaha untuk mengubah landskap dan pandangan masyarakat terhadap kawasan di tengah bandar Kuala Lumpur itu.

Menerusi Memories of Chow Kit: Mural 50350 Chow Kit, seramai enam pelukis tempatan bergabung tenaga bersama tiga pelukis jemputan dari Jogyakarta, Indonesia dan tiga artis dari Manila, Filipina.

Keazaman dan hasil karya artis berkenaan dapat disaksikan di empat lorong utama di Jalan Haji Taib 1 dan Jalan Haji Taib 2 yang siap sepenuhnya hari ini (11 November 2016).

“Ia adalah idea asal Ketua Pengarah Balai Seni Visual Negara (BSVN) Profesor Datuk Dr Mohamed Najib Ahmad Dawa yang berhasrat Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN) dapat membantu kerajaan dan masyarakat bagi mengatasi masalah sosial yang dilihat membelenggu masyarakat bandar.

“Lukisan mural dilihat sebagai satu cara untuk membantu anak komuniti ini supaya dapat dididik dengan ilmu seni visual dan diharap ia berupaya membentuk masa depan mereka untuk menyumbang kebaikannya kepada komuniti kelak,” kata Penolong Kurator Bahagian Pameran, Balai Seni Visual Negara, Haniff Ayub.

Apatah lagi Jalan Chow Kit yang pernah berperanan sebagai nadi utama Kuala Lumpur sudah pasti banyak mengukir pelbagai sejarah dan nostalgia di sini.

Sudah menjadi tanggungjawab LPSVN untuk mempromosikan kawasan ini agar cambahan ilmu seni lukis mural mampu mengangkat kembali kawasan ini sebagai tumpuan pelancong.

Konsep Memories of Chow Kit: Mural 50350 Chow Kit mengangkat kembali sejarah dan kisah masyarakat Chow Kit itu sendiri.

Justeru, gabungan artis tempatan dan Asia Tenggara dilihat memiliki kekuatan untuk menonjolkan sejarah, budaya dan kisah kehidupan menerusi catan dinding di jalan berkenaan.

Ia bertepatan dengan siri mural ini apabila turut menjemput 20 pelajar dari Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih supaya sama-sama memeriahkan aktiviti melukis mural yang dianjurkan itu.

“Anak gelandangan di sekitar Chow Kit diajak untuk menyertai projek mural agar mereka merasai pengalaman dan pelajaran seni di lapangan daripada pelukis profesional sendiri.

“Mereka tidak berkemampuan untuk menikmati pendidikan seni dari guru profesional yang mengenakan bayaran tinggi maka, ini adalah peluang untuk mereka pelajari.

“Minat dalam kerja seni diharap mampu membuka mengubah pandangan mereka berkenaan kehidupan sekali gus menanam cita-cita dalam diri masing-masing untuk berjaya dalam hidup.

“Lorong berkenaan juga belum pernah disuntik dengan keindahan lukisan jalanan walaupun negara kini di arus kemodenan. Diharap, ia mampu mengubah pandangan masyarakat dari lorong yang kelam kepada tarikan pelancongan,” kata Haniff.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 November 2016 @ 3:11 PM