Raja Noraina Raja Rahim


MENYEMBUNYIKAN dadah jenis pil eramin 5 di dalam ekzos motosikal. Itu taktik sindiket penyeludupan dadah yang dikesan menggunakan laluan laut untuk membawa masuk dadah ke negara ini.

Bagaimanapun, taktik sindiket pengedaran dadah berkenaan menyeludup pil bernilai RM60 juta menggunakan dua kontena mengandungi ekzos gagal apabila dipatahkan pasukan khas dianggotai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri T Subromaniam berkata, sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan Narkotik JKDM dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman melakukan pemantauan terhadap kontena di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, 1 tengah hari, pada 31 Januari lalu.

Menurutnya, dua kontena itu baru tiba di pelabuhan itu dari Taipei, Taiwan.

“Hasil pemeriksaan dilakukan salah satu kontena yang diisytihar sebagai muatan alat ganti kenderaan itu mengandungi muatan 139 kotak berisi 1,248 buah ekzos motosikal.

“Pemeriksaan menggunakan Anjing Pengesan Dadah (APD) pada semua tabung ekzos itu membawa kepada penemuan plastik lutsinar berisi 3 juta pil eramin 5 seberat 480 kilogram yang disembunyikan dalam tabung ekzos berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Cawangan Narkotik JKDM di Kampung Jijan di Nilai, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan pematuhan), Datuk Azimah Abd Hamid, dan Timbalan Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Kamarul Zaman Mamat.

Susulan rampasan itu, Subromaniam berkata, pihaknya menahan pengarah syarikat lelaki berusia 26 tahun bagi membantu siasatan.

Katanya, suspek kini direman lima hari sehingga 13 Februari ini bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kita masih mengenal pasti pihak lain yang disyaki terbabit termasuk ejen perkapalan. Kita juga tidak menolak kemungkinan pembabitan ‘orang dalam’ untuk menyeludup masuk dadah itu, katanya.

Beliau berkata, ia kejayaan pertama dan terbesar pihaknya susulan penubuhan jawatankuasa khas dengan kerjasama polis bertujuan menangani penyeludupan dadah di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Februari 2019 @ 7:20 PM
T Subromaniam pada sidang media susulan kejayaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia bersama Polis Diraja Malaysia menumpaskan sindiket pengedaran dadah. FOTO Iqmal Haqim Rosman
T Subromaniam pada sidang media susulan kejayaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia bersama Polis Diraja Malaysia menumpaskan sindiket pengedaran dadah. FOTO Iqmal Haqim Rosman