Muhammad Yusri Muzamir


POLIS berjaya menumpaskan kumpulan sindiket mengedar dan menyeludup dadah, sekali gus merampas pelbagai jenis bahan larangan itu bernilai RM26.1 juta di Georgetown, Selasa lalu.

Difahamkan, ia adalah rampasan terbesar dijalankan pihak polis, setakat tahun ini.

Dadah terbabit ditemui hasil serbuan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama JSJN negeri, Sekretariat Nukleus Narkotik (SNN), Biro Supression Narkotik Polis Diraja Thailand (RTP) dan Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik Thailand (ONCB).

Timbalan Pengarah JSJN, Datuk Kang Chez Chiang berkata, dalam serbuan 6.15 petang itu, pemeriksaan polis menemukan 506 kilogram (kg) syabu dan 26,000 pil ekstasi di enam lokasi berasingan di Pulau Pinang yang dijadikan stor simpanan bahan larangan itu.

Selain itu, katanya, seramai empat lelaki berusia antara 35 hingga 59 tahun yang memiliki pelbagai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah turut diberkas selepas dipercayai menganggotai sindiket terbabit.

"Kita menemui 473 bungkusan teh cina dipercayai mengandungi dadah jenis syabu seberat 506 kg, manakala 13 bungkusan lain mengandungi 26,000 pil ekstasi, dipercayai dibawa masuk dari negara segi tiga emas menggunakan laluan di Thailand ke Malaysia.

"Melalui penemuan ini, kita percaya Pulau Pinang menjadi negeri transit bagi aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah, sebelum ia dijual bagi pasaran tempatan serta dieksport untuk pasaran antarabangsa.

"Selain dieksport ke negara jiran, kita difahamkan mereka turut mengedar ke negara lain dipercayai di Australia, New Zealand dan Filipina. Mereka juga mungkin ada pasaran di Jepun, Taiwan, Indonesia dan Korea.

"Dadah ini dipercayai dihantar melalui pos, kurier tempatan dan antarabangsa atau kargo, melalui jalan udara, darat dan air," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Pulau Pinang di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Ogos 2018 @ 2:09 PM
TIMBALAN Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Kang Chez Chiang (empat dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan rampasan dadah jenis syabu dan pil ekstasi bernilai RM26.1 juta semasa sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Negeri Pulau Pinang. FOTO Mikail Ong
TIMBALAN Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Kang Chez Chiang (empat dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan rampasan dadah jenis syabu dan pil ekstasi bernilai RM26.1 juta semasa sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Negeri Pulau Pinang. FOTO Mikail Ong