JIM tidak pernah melantik mana-mana ejen atau pihak ketiga untuk menguruskan pendaftaran Program Rekalibrasi Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati). FOTO Arkib NSTP
JIM tidak pernah melantik mana-mana ejen atau pihak ketiga untuk menguruskan pendaftaran Program Rekalibrasi Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati). FOTO Arkib NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) tidak pernah melantik mana-mana ejen atau pihak ketiga untuk menguruskan pendaftaran Program Rekalibrasi Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati).

Ketua Pengarah JIM, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya menerima maklumat dan pertanyaan berkenaan ejen serta pihak ketiga yang menawarkan perkhidmatan untuk menguruskan pendaftaran Program Rekalibrasi Pati.

"Perkhidmatan itu kononnya ditawarkan kepada majikan yang mahu menggaji Pati dan mereka (Pati) yang ingin pulang ke negara asal dengan mengenakan jumlah bayaran tertentu.

"Ada antara ejen dan pihak ketiga berselindung di sebalik nama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat pembekal tenaga kerja bagi memancing majikan untuk menggunakan perkhidmatan mereka," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang urusan dengan ejen dan pihak ketiga untuk pendaftaran Program Rekalibrasi Pati.

Katanya, pendaftaran program itu boleh dibuat secara terus di laman web www.imi.gov.my.

"Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mengikuti perkembangan serta pengumuman terkini mengenai Program Rekalibrasi.

"JIM akan sentiasa membuat pengumuman dari semasa ke semasa dan orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan berhubung program ini boleh membuat pertanyaan melalui Sistem Pertanyaan Online (SPO) yang boleh dicapai di pautan www.imi.gov.my," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Oktober 2021 @ 5:27 PM