Nurul Hidayah Bahaudin


Kajang: Seramai 129 buruh asing yang bekerja di sebuah kilang alat ganti mesin di Balakong di sini, ditahan dalam serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) semalam.

Ketua Pengarah JIM Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, serbuan pada 8 malam itu membabitkan 80 pegawai dan anggota imigresen serta agensi lain iaitu Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Menurutnya, pihak JIM menerima maklumat daripada orang awam mengenai kilang berkenaan yang dikatakan menggunakan khidmat pendatang asing tanpa izin (Pati).

"Dalam serbuan ini, seramai 134 pekerja warga asing diperiksa dan daripada jumlah itu 129 Pati ditahan membabitkan 110 lelaki serta 19 wanita dari Indonesia, Myanmar, Bangladesh, India dan Nepal berusia antara 20 hingga 49 tahun.

"Mereka ditahan selepas didapati tidak mempunyai dokumen ketika serbuan dilakukan selain ada antara mereka menyalahgunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS)," katanya ketika sidang media di lokasi serbuan di sini.

Khairul Dzaimee berkata, ketika serbuan dilakukan, semua warga asing berkenaan sedang sibuk bekerja.

"Ketika serbuan itu, ada juga antara warga asing yang cuba melarikan diri hingga terjatuh akibat lantai licin di kilang ini dan mereka berjaya ditahan.

"Hasil pemeriksaan dilakukan terdapat lima pekerja warga asing yang mempunyai PLKS yang didaftarkan bekerja di kilang lain di Melaka, namun bekerja di kilang ini.

"Kami akan menyiasat mengenai tempat kerja asal mereka di Melaka sama ada kilang berkenaan adalah dari sektor atau majikan sama," katanya.

Anggota JIM memeriksa buruh asing di sebuah kilang di Balakong, Kajang semalam. Foto Azhar Ramli
Anggota JIM memeriksa buruh asing di sebuah kilang di Balakong, Kajang semalam. Foto Azhar Ramli

Katanya, semua yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39B Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

"Kami turut menjalankan siasatan mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 terhadap majikan kerana membenarkan Pati berada di dalam premis," katanya.

Beliau turut kecewa dengan majikan kilang berkenaan yang tidak mengambil peluang melalui Program Rekalibrasi yang sedang berjalan ketika ini.

"Program ini sudah berjalan selama setahun dan dan baru-baru ini syarat-syaratnya juga sudah dilonggarkan untuk memberi peluang kepada majikan yang menggaji Pati mendaftarkan pekerja mereka dalam portal jabatan.

"Bagi majikan yang mendaftarkan pekerja mereka (Pati) dalam portal, tindakan penguatkuasaan tidak akan diambil walaupun PLKS belum dikeluarkan atau sedang diproses," katanya.

Mengulas mengenai lanjutan Program Rekalibrasi, beliau berkata, pihaknya sudah menetapkan bahawa program berkenaan tidak akan dilanjutkan selepas 31 Disember ini.

"Bagaimanapun, kami diberi masa untuk memproses pendaftaran Pati pada portal jabatan sehingga PLKS mereka dikeluarkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 November 2021 @ 12:35 AM