DATUK Seri Hamzah Zainuddin bersama Datuk Khairul Dzaimee Daud. FOTO BERNAMA
DATUK Seri Hamzah Zainuddin bersama Datuk Khairul Dzaimee Daud. FOTO BERNAMA
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Pelan Rekalibrasi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang dilancarkan November lalu, berjaya memungut sejumlah RM35.1 juta sehingga semalam daripada kompaun dan pas khas yang dikenakan terhadap warga asing yang mahu kembali ke negara masing-masing.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata pada masa sama seramai 145,830 PATI mendaftar dengan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja dan Program Rekalibrasi Pulang.

Beliau berkata, ada antara mereka yang mahu dihantar pulang manakala ada juga yang memilih untuk terus bekerja di negara ini.

"Pelan Rekalibrasi mempunyai satu angka besar melebihi 140,000 yang kita sudah daftarkan.

"Apa yang kita lakukan adalah untuk mereka keluar dan pastikan (kedudukan) mereka yang berada dalam negara kita ini. Bukan kita tidak mahu mereka bekerja sebaliknya kita mahu mereka bekerja dengan dokumen yang sah.

"Itu yang dilakukan oleh Jabatan Imigresen," katanya Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2020 Jabatan Imigresen Malaysia, petang tadi.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said; Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abd Aziz dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud.

Difahamkan 72,324 daripada mereka yang berdaftar dalam pelan berkenaan memilih untuk pulang semula ke negara masing-masing manakala 73,506 mahu kekal bekerja di negara ini.

Hamzah berkata, ia menunjukkan program rekalibrasi itu mencapai angka boleh dibanggakan, berikutan ada yang mempunyai persepsi bahawa ramai individu tidak mempunyai dokumen berada di negara ini.

Namun, katanya, apabila Pelan Rekalibrasi itu dilaksanakan, pihaknya sedar ia adalah persepsi semata-mata.

Justeru, katanya, ia menunjukkan bahawa Jabatan Imigresen sememangnya melaksanakan tanggungjawabnya melalui pengusiran serta operasi sehingga mencapai satu kejayaan yang membanggakan.

Pada masa sama, Hamzah berkata, Jabatan Imigresen perlu memastikan semua warga asing yang berada di negara ini mempunyai dokumen sewajarnya termasuk dalam memastikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) berjaya dilaksanakan serta mencapai imuniti kelompok seperti dihasratkan kerajaan.

"Sebab itu, saya meminta kepada Jabatan Imigresen untuk memastikan semua warga asing yang tidak mempunyai dokumen di negara ini keluar bekerjasama dengan kita untuk mereka menerima vaksin mengikut program yang dianjurkan oleh kerajaan," katanya.

Hamzah turut menghargai kejayaan yang dicapai Jabatan Imigresen sepanjang episod penularan Covid-19 di negara ini.

Sementara itu, ketika berucap, Khairul Dzaimee berkata, pasukannya turut terbabit menghasilkan beberapa inovasi teknologi maklumat (ICT) yang menyumbang kepada pengurusan hal ehwal Imigresen yang lebih cekap.

Beliau berkata, antaranya teknologi My Travel Pass yang membolehkan urusan keluar masuk warga tempatan dan asing seperti ahli perniagaan, pelabur dan golongan profesional; Sistem Temujanji Online (STO) untuk memudahkan pelanggan mendapat temujanji dengan jabatan itu secara dalam talian serta Sistem Pertanyaan Online (SPO) yang membolehkan pertanyaan berkaitan dasar semasa dan peraturan jabatan itu dibuat secara dalam talian dengan jawapan diberikan dalam masa tiga hari.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 April 2021 @ 10:41 PM