GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Orang ramai dinasihatkan tidak menggunakan pihak ketiga atau agen bagi menguruskan pendaftaran program Pelan Rekalibrasi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya menerima maklumat terdapat cubaan oleh pihak tidak bertanggungjawab menawarkan perkhidmatan untuk menguruskan pendaftaran program berkenaan dengan bayaran tertentu.

"Jabatan ini tidak pernah melantik mana-mana pihak untuk menguruskan pendaftaran Program Rekalibrasi ini.

"Justeru kita nasihatkan orang ramai tidak berurusan dengan agen atau pihak ketiga bagi pendaftaran program berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Khairul berkata, majikan yang ingin mendaftarkan pekerja mereka boleh dibuat secara terus di laman web https://www.imi.gov.my/.

"Jabatan ini akan membuat pengumuman dari masa ke semasa berhubung Program Rekalibrasi ini.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan berhubung program ini boleh membuat pertanyaan melalui Sistem Pertanyaan Online (SPO)," katanya.

Pelan Rekalibrasi PATI itu merangkumi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja dan Program Rekalibrasi Pulang sudah bermula sejak 16 November lalu.

Program Rekalibrasi Pulang adalah program yang membenarkan PATI untuk pulang ke negara asal secara sukarela tertakluk kepada syarat-syarat tertentu yang ditetapkan.

Sementara itu, Program Rekalibrasi Tenaga Kerja pula adalah program khas untuk menjdikan PATI di negara ini sebagai pekerja asing yang sah digajikan oleh majikan yang layak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2021 @ 10:52 AM