KHAIRUL Dzaimee pada sidang media mengenai Program Rekalibrasi Tenaga Kerja di Jabatan Imigresen Putrajaya. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
KHAIRUL Dzaimee pada sidang media mengenai Program Rekalibrasi Tenaga Kerja di Jabatan Imigresen Putrajaya. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Samadi Ahmad


Putrajaya: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyasarkan sehingga 250,000 permohonan diterima daripada pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui Program Rekalibrasi Tenaga Kerja dan Program Rekalibrasi Pulang.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, program khas bermula 16 November sehingga 30 Jun 2021 boleh dibuat menerusi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja melalui portal www.imi.gov.my dan tidak lagi perlu menghantar permohonan melalui emel.

Katanya, setakat hari ini, JIM sudah menerima 478 permohonan daripada majikan untuk program berkenaan membabitkan 1,980 pendatang asing.

Menurut beliau, majikan boleh membuat permohonan secara serentak bagi program itu melalui JIM dan kuota pekerja asing melalui Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

"Kuota kelayakan majikan untuk menggaji pekerja asing berdasarkan nisbah kelayakan semasa serta terhad kepada empat sektor terdiri daripada perkilangan, pembinaan, pertanian dan perladangan, "katanya pada sidang media Program Rekalibrasi Tenaga Kerja di sini, hari ini.

Pada 12 November lalu, kerajaan melancarkan Pelan Rekalibrasi Pendatang Tanpa Izin (PATI) yang dilaksanakan oleh JIM dengan kerjasama strategik Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) serta agensi-agensi kerajaan yang lain tanpa pembabitan vendor atau pihak ketiga.

Program berkenaan terdiri daripada pendatang asing yang sedia ada digajikan atau masih belum digajikan oleh majikan, tertakluk kepada syarat seperti pemegang Pas Lawatan Sosial (PLS), Pas Lawatan Kerja Sementara (PKLS) dan pembantu rumah asing yang tinggal lebih masa pada atau sebelum 31 Disember 2020.

Manakala Program Rekalibrasi Pulang merupakan inisiatif kerajaan bertujuan memberi peluang kepada pendatang asing yang melakukan kesalahan tinggal lebih masa dan berada di Malaysia tanpa pas yang sah untuk pulang ke negara asal secara sukarela.

Khairul Dzaimee berkata, pendatang asing yang layak dan mendapatkan janji temu secara atas talian menerusi Sistem Temujanji Online (STO) perlu hadir ke pejabat JIM dipilih bersama dokumen perjalanan sah, tiket pulang ke negara asal dan bayaran kompaun RM300 hingga RM500.

Katanya, selepas selesai urusan bayaran , JIM akan mengeluarkan Pas Khas dan Check Out Memo (COM) dan pendatang asing berkaitan perlu pulang ke negara asal mengikut tarikh tiket dikemukakan.

"Setakat ini, 12,400 pendatang asing berada di 14 depoh tahanan di Semenanjung dan sebahagian besarnya terdiri daripada warga Myanmar, Pakistan, India, Indonesia dan Bangladesh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2020 @ 1:58 PM