PASUKAN Polis Marin bersama pelbagai minimum keras tidak bercukai yang dirampas. FOTO ihsan PPM
PASUKAN Polis Marin bersama pelbagai minimum keras tidak bercukai yang dirampas. FOTO ihsan PPM
Ruwaida Md Zain
am@metro.com.my


Klang: Pasukan Polis Marin Wilayah 1 merampas 4,125 minuman keras dianggar bernilai RM943,346.62 menerusi Op Kontraband di Taman Kim Chuan, Pandamaran, di sini, kira-kira 3 petang semalam.

Komander PPM Wilayah 1, Asisten Komisioner Mohd Shamsol Kassim berkata, ketika menjalankan pemantauan, pasukan mendapati lelaki dalam keadaan mencurigakan sedang membuka van yang diparkir di belakang perumahan.

Katanya, pasukan membuat serbuan dan menahan lelaki berusia 29 tahun itu yang tidak mempunyai pengenalan diri dan dipercayai warga India.

"Pemeriksaan di dalam van pula tidak menemui barang salah. Bagaimanapun, selepas soal siasat ke atas suspek di tempat kejadian, suspek memandu arah pasukan ke beberapa van lagi di kawasan berdekatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Shamsol berkata, pemeriksaan lanjut terhadap lima van mendapati, terdapat pelbagai jenis minuman keras yang dipercayai tidak bercukai.

"Anggaran nilai 4,125 pelbagai minuman keras tin dan botol itu termasuk cukai RM 943,346.62.

"Nilai enam kenderaan yang dirampas RM 60,000. Ini menjadikan anggaran keseluruhan rampasan bernilai RM1,003,346.37.

"Suspek ditahan dan minuman keras bersama kenderaan dirampas kemudian dibawa ke Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Katanya, berdasarkan siasatan awal, aktiviti itu dipercayai beroperasi sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Van terbabit dijadikan stor untuk menyimpan minuman keras sebelum dijual kepada pembeli.

"Pemilik van juga berbeza-beza, kita percaya nama pemilik kenderaan tiada kaitan dengan sindiket sebab kenderaan itu dipercayai dibeli untuk dijadikan stor. Keadaan kenderaan juga uzur dan tiada cukai jalan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Oktober 2021 @ 11:33 AM