Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang bersama minuman keras tidak bercukai yang dirampas. FOTO IHSAN PPM
Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang bersama minuman keras tidak bercukai yang dirampas. FOTO IHSAN PPM
Ruwaida Md Zain


Klang: Tiga lelaki yang sedang leka memunggah beratus botol minuman keras seludup tergamam apabila diserbu sepasukan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari semalam, semua suspek dilihat memunggah barangan itu di kawasan parkir berpagar di Taman Klang Jaya, di sini.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 1, Asisten Komisioner Shamsol Kassim berkata, pihaknya yang melakukan operasi Ops Kontraband mengesan aktiviti tiga lelaki sedang memunggah barang ke dalam lori.

"Hasil pemeriksaan mendapati suspek sedang memunggah minuman keras tidak bercukai.

"Pihak kami turut mendapati sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima turut digunakan bagi kegiatan itu.

"Susulan serbuan itu, PPM berjaya merampas pelbagai jenis minuman keras dan kenderaan dianggarkan bernilai RM 653,534,98," katanya tadi.

Shamsol berkata, kesemua suspek berusia 23 sehingga 32 tahun itu berperanan sebagai 'budak penghantar' yang ditugaskan memunggah minuman keras dan menghantarnya kepada pelanggan.

"Kesemua tangkapan serta barangan dirampas dibawa ke pangkalan PPM Pelabuhan Klang untuk tindakan lanjut.

"Ketiga-tiga suspek akan dikenakan hukuman mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen 1859/63," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Februari 2022 @ 2:21 PM