PEGAWAI PPM Wilayah 5 Sarawak bersama dua suspek termasuk rokok dan minuman keras yang dirampas. FOTO Ihsan PPM Wilayah 5 Sarawak
PEGAWAI PPM Wilayah 5 Sarawak bersama dua suspek termasuk rokok dan minuman keras yang dirampas. FOTO Ihsan PPM Wilayah 5 Sarawak
Melvin Joni

Kuching: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 Sarawak merampas pelbagai jenis rokok putih dan kretek termasuk minuman keras bernilai lebih RM380,000 hasil serbuan ke atas sebuah premis di Stakan Sentral, Jalan Stakan, di sini, semalam.

Komandernya Asisten Komisioner Shamsol Kassim berkata, rampasan dilakukan oleh dua pegawai dan lima anggota Unit Risikan PPM Wilayah 5 Sarawak yang menjalankan Op Benteng Covid-19 (Landai) pada jam 4.15 petang.

"Pasukan serbuan membuat pemeriksaan di dalam kedai dan stor di bahagian belakang premis menemui pelbagai jenis rokok dan minuman keras tidak bercukai.

"Penjaga kedai juga gagal menunjukkan sebarang dokumen dari Jabatan Kastam sebagai sokongan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Shamsol berkata, rampasan rokok dianggarkan bernilai lebih RM70,000 manakala nilai minuman keras lebih RM310,000.

Menurutnya, pasukan serbuan turut menahan dua lelaki berusia 20-an yang merupakan penjaga dan pekerja kedai berkenaan dan mereka dibawa ke pangkalan PPM Wilayah 5 Sarawak untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes akan diserahkan kepada Balai Polis Kota Sentosa untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Disember 2020 @ 5:30 PM