MIRI 08 JANUARI 2020. Antara rokok dan minuman keras yang dirampas dalam operasi serentak yang dijalankan Polis Marin Wilayah 5 di Sarikei, Sibu dan Miri. STR/MELVIN JONI
MIRI 08 JANUARI 2020. Antara rokok dan minuman keras yang dirampas dalam operasi serentak yang dijalankan Polis Marin Wilayah 5 di Sarikei, Sibu dan Miri. STR/MELVIN JONI
Melvin Joni


PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah 5 merampas sebanyak 56,780 batang rokok, 125 kotak bir dan 52 botol minuman keras yang dipercayai diseludup dalam tiga serbuan berasingan di Miri, Sibu dan Sarikei, semalam.

Komander Polis Marin Wilayah 5 Sarawak Asisten Komisioner Shamsol Kassim berkata, tangkapan pertama dilakukan terhadap seorang lelaki di kawasan parkir kereta UTC Sibu kerana memiliki 21,800 batang rokok seludup bernilai RM87,600.

“Serbuan kedua pula dilakukan terhadap seorang lelaki di sebuah kedai runcit di Jalan Kaban Sarikei kerana memiliki 28,400 batang rokok dan 65 kotak bir yang dianggarkan bernilai RM20,940.

“Dalam serbuan ketiga yang dilakukan di Bazar Baru Sepupok di Niah, PPM menahan seorang lelaki bersama 6,580 batang rokok, 60 kotak bir dan 52 botol minuman keras yang dianggarkan bernilai RM16,136.

"Kita menjalankan operasi serentak bagi membanteras penjualan rokok dan minuman keras yang tidak bercukai atau diseludup di kawasan Sarikei, Sibu dan Miri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shamsol berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 January 2020 @ 10:39 PM