PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah 1 berjaya memberkas seorang warga India yang dipercayai terbabit dalam aktiviti penjualan minuman keras yang tidak bayar cukai di Pandamaran, Klang. FOTO Ihsan Polis Marin
PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah 1 berjaya memberkas seorang warga India yang dipercayai terbabit dalam aktiviti penjualan minuman keras yang tidak bayar cukai di Pandamaran, Klang. FOTO Ihsan Polis Marin
Ruwaida Md Zain

GUNA van untuk mengangkut minuman keras seludup selain digunakan untuk aktiviti jualan secara bergerak di daerah Klang, Selangor.

Itu kegiatan seorang lelaki warga asing berusia 50 tahun yang dikesan terbabit dalam aktiviti penjualan minuman keras yang tidak bayar cukai di Pandamaran, Klang.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, aktiviti suspek yang menjual minuman keras di tepi jalan itu berjaya dikesan Unit Risikan Marin yang melakukan rondaan malam tadi.

"Sebaik menyedari kehadiran polis, pemilik kenderaan cuba melarikan diri. Bagaimanapun tindakan pantas anggota polis akhirnya berjaya menahan van itu di Jalan Jelai 3, Taman Kim Chuan, di Klang.

"Pemeriksaan terhadap van itu menemui 1,800 tin minuman keras pelbagai jenama disyaki tidak bayar cukai," katanya.

Rosman berkata, suspek bersama van miliknya dan pelbagai minuman keras dibawa ke Markas Operasi PPM untuk tindakan lanjut.

"Nilai rampasan minuman keras terbabit termasuk cukai adalah RM24,199.10 manakala ​kenderaan dirampas bernilai RM10,000," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 kerana menjual minuman keras tidak dibayar cukai dan Seksyen 6(1) Akta imigresen iaitu gagal menunjukkan dokumen perjalanan yang sah.

Katanya, PPM akan terus mempertingkatkan lagi pengumpulan maklumat serta operasi dari semasa ke semasa bagi membendung aktiviti yang menyalahi undang-undang seperti pengedaran dan penjualan barang-barang yang tidak bayar cukai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2020 @ 7:54 PM