Dua warga asing cedera selepas kedai buah-buahan di Bandar Manjalara, Kepong terbakar awal pagi tadi. FOTO IHSAN BOMBA
Dua warga asing cedera selepas kedai buah-buahan di Bandar Manjalara, Kepong terbakar awal pagi tadi. FOTO IHSAN BOMBA
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Dua pekerja warga asing cedera selepas kedai buah-buahan di Bandar Manjalara, Kepong di sini, terbakar, awal pagi tadi.

Dalam kejadian pada jam 2 pagi itu, lelaki warga Bangladesh dan Indonesia masing-masing berusia 56 dan 30 tahun itu berjaya diselamatkan.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Mohd Fahmi Abd Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.03 pagi.

"Susulan itu, tiga jentera bersama Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Hartamas, Jinjang dan Sentul dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Setiba jentera di lokasi kejadian mendapati kebakaran membabitkan sebuah kedai buah-buahan jenis kekal di bangunan dua tingkat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, terdapat dua warga asing di premis berkenaan dan berjaya dikeluarkan dengan selamat.

"Kedua-dua warga ssing terbabit cedera di pergelangan kaki dan diserahkan kepada pihak perubatan untuk rawatan.

"Api berjaya di padamkan pada jam 2.21 pagi. Punca dan nilai kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Oktober 2021 @ 4:17 PM