BUAH-buahan yang bertaburan di laluan kiri lebuh raya.
BUAH-buahan yang bertaburan di laluan kiri lebuh raya.

Alor Gajah: “Ketika mengelak kumpulan kereta berlumba, saya tidak sedar lori yang dipandu di kiri lebuh raya hampir ke longkang sebelum terbalik akibat tergelincir,” kata Tiyagarajan, 50-an, yang cedera ringan apabila lori 10 tan dipandunya terbalik di Kilometer 197, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), awal pagi semalam.

Tiyagarajandan berkata, dia dan kelindan, Raja, 35, dalam perjalanan menghantar lebih 200 kotak buah-buahan import dari Klang, Selangor ke Batu Pahat, Johor sebelum tiba di tempat kejadian berhampiran plaza tol Ayer Keroh, kira-kira 3.30 pagi.

Katanya, beberapa kereta memotong lori dipandunya di laluan tengah dan menghimpit lori dipandunya hingga masuk ke laluan kecemasan.

Akibatnya, dia berkata, lori membawa pelbagai buah-buahan import bernilai lebih RM30,000 terbalik.

“Akibat terlalu gelap, saya tidak perasan bahagian kiri lori masuk ke bahagian berumput.

“Saya cuba memberhentikan lori, tapi tindakan saya membrek menyebabkan lori saya tergelincir dan terbalik dan melintang jalan sehingga menghalang laluan kiri,” katanya.

Dalam kemalangan terbabit, pemandu yang hampir setahun bekerja dengan syarikat pengangkutan terbabit luka di belakang dan tangan manakala kelindannya tidak mengalami kecederaan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik negeri Superintendan Mohd Sham Abdullah berkata, pihaknya mengesahkan kejadian berkenaan.

“Kejadian membabitkan sebuah lori membawa buah-buahan yang terbalik, namun tiada kemalangan jiwa mahupun kecederaan dialami pemandu. Pemandu tidak mahu membuat laporan polis.

“Kejadian dipercayai berlaku akibat kecuaian pemandu mengawal lori yang terbabas sendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2017 @ 7:41 AM