KERETA yang dipercayai dicuri suspek terbalik selepas melanggar gerai buah-buahan.
KERETA yang dipercayai dicuri suspek terbalik selepas melanggar gerai buah-buahan.
Oleh Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Seorang lelaki yang baru beberapa jam mencuri sebuah kereta Perodua Viva cedera selepas kereta dicurinya itu terbabas dan terbalik di hadapan sebuah kedai buah-buahan di pekan Masai di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, lelaki berkenaan gagal mengawal kenderaan itu selepas dipandu laju sebaik dikejar kereta peronda polis.

Seorang saksi kejadian berkata, lelaki terbabit yang terperangkap dalam kereta hampir setengah jam berjaya dikeluarkan polis dengan bantuan ramai.

“Kereta itu hampir merempuh gerai buah-buahan,” katanya.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintendan Abdul Samad Salleh berkata, pihaknya menerima aduan berkaitan kehilangan sebuah kereta Perodua Viva di Pasir Gudang pada jam 6 pagi hari yang sama.

Menurutnya, ketika sepasukan polis menjalankan rondaan cegah jenayah di kawasan pekan Masai, mereka terserempak dengan kereta dilaporkan hilang itu.

Katanya, pihaknya bertindak mengejar kenderaan berkenaan sebelum ia terbabas berhampiran gerai menjual buah-buahan di pekan berkenaan.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 January 2015 @ 5:11 AM