FOTO ARKIB NSTP
FOTO ARKIB NSTP
Abd Hamid


Kuala Lumpur: Satu daripada aspek penting dititikberatkan dalam Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) bagi mengekalkan tahap pengoperasian yang tinggi adalah menerusi penggunaan kaedah perisikan manusia (human intelligence).

Timbalan Menteri Dalam Negeri 1, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said berkata, kaedah itu menekankan pengumpulan maklumat daripada individu atau kumpulan sasaran tertentu melalui libat urus agensi dengan individu, kumpulan atau komuniti.

Beliau berkata, kaedah interaksi sosial yang dilaksanakan sekarang sudah memberikan impak positif dengan perubahan persepsi masyarakat bahawa kerajaan sentiasa menitikberatkan faktor keselamatan nyawa dan harta benda rakyat di kawasan itu.

"Melalui kaedah itu, ESSCOM berjaya mengekang ancaman Kumpulan Abu Sayyaf (Abu Sayyaf Group-ASG) di Sabah dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi operasi khas penjejakan dan pengesanan anggota ASG baru-baru ini.

"Antara kejayaan operasi khas yang dilaksanakan melalui ESSCOM, kerajaan berjaya menggagalkan serta melumpuhkan empat aktiviti ASG pada 2020 dan tiga aktiviti kumpulan ASG pada 2021.

"Ini membuktikan keberkesanan elemen perisikan yang dilaksanakan oleh kerajaan pada masa ini," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Bashir Alias yang ingin mengetahui sejauh mana tahap persediaan keselamatan kawasan ESSCOM dan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) daripada aspek 'human intelligence' (HUMINT) bagi mengatasi ancaman pencerobohan kumpulan pengganas terutama Abu Sayyaf serta sejauh manakah ia memberikan implikasi positif.

Ismail berkata, seiring dengan aspirasi kerajaan ke arah wawasan kemakmuran bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) sentiasa komited dalam memperkasakan kawalan keselamatan dan keupayaan aset ke atas memperkukuhkan kedaulatan negara.

Menjawab soalan tambahan daripada Bashir berkaitan keberkesanan perisikan manusia di kawasan perairan Sabah termasuk Labuan, Ismail berkata, pemantauan operasi sentiasa dilakukan di lapangan.

"Selain itu jika berlaku penyelewengan dan kebocoran maklumat, sama ada daripada pegawai atau mana-mana anggota yang terbabit, KDN akan mengenakan tindakan yang lebih tegas.

"Saya juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada masyarakat setempat dan kumpulan tertentu dalam komuniti kerana sentiasa memberikan maklumat sekiranya ada ancaman pencerobohan ke dalam negara kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Oktober 2021 @ 12:35 PM