PASUKAN keselamatan mempergiat rondaan bagi mengekang kemasukan PATI menerusi Op Cegah PATI (OCP) Daratan di beberapa lokasi di Kalabakan. FOTO Ihsan ESSCOM
PASUKAN keselamatan mempergiat rondaan bagi mengekang kemasukan PATI menerusi Op Cegah PATI (OCP) Daratan di beberapa lokasi di Kalabakan. FOTO Ihsan ESSCOM
Abdul Rahemang Taiming


Kalabakan : Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) terus mempergiatkan rondaan bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi Op Cegah PATI (OCP) Daratan, di beberapa lokasi hotspot sekitar daerah ini, semalam.

Komander ESSCOM, Datuk Ahmad Fuad Othman berkata menerusi operasi itu juga, rondaan oleh pasukan keselamatan turut diperluaskan sehingga ke kawasan pesisir pantai Wakuba, di Tawau.

Menurutnya, operasi OCP Daratan dilihat mula menampakkan hasil kejayaannya dalam mengawal kemasukan PATI selain kegiatan penyeludupan ke kawasan berkenaan.

"Antara kejayaan OCP Daratan yang dilaksanakan ESSCOM dapat dilihat melalui pengurangan secara ketara penjaja haram oleh PATI di kawasan hotspot menjadi tumpuan sebelum ini.

"Bekalan dan penjualan rokok seludup yang semakin berkurang akhirnya memberi kesan kepada kenaikan harga yang mendadak terhadap barangan itu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Fuad berkata pihaknya mempunyai pos tentera di bawah Op Gasak yang menjalankan pemantauan di lorong tikus di sepanjang lebih 200 kilometer (km) dari Tawau sehingga ke kawasan sempadan di daerah Kalabakan.

Pada masa sama katanya, ESSCOM juga terus memantau sebarang ancaman dan jenayah rentas sempadan lain seperti ancaman daripada kumpulan militan yang boleh mengganggu-gugat keamanan dan keselamatan di perairan pantai timur Sabah.

"ESSCOM juga mengambil kira ancaman lain daripada kumpulan militan seperti ancaman daripada kumpulan penculikan bagi tujuan wang tebusan (KFRG) yang di dalangi kumpulan Abu Sayyaf yang sentiasa mencari ruang dan peluang untuk melakukan jenayah di perairan negara kita khususnya di pantai timur Sabah.

"Pasukan Perisikan ESSCOM sentiasa memantau dan meneliti maklumat pergerakan kumpulan ini selain menjalin kerjasama dengan pasukan keselamatan negara jiran termasuk berkongsi maklumat risikan berkaitan sebarang bentuk ancaman," katanya yang turut memberi fokus mengekang penularan wabak Covid-19.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan, tahap keselamatan di kawasan perairan pantai timur Sabah masih terkawal dengan beberapa langkah serta perancangan yang telah diatur pihak berkuasa.

"Tiada apa yang perlu dibimbangkan, semua kawasan operasi memang terkawal dan kita akan sentiasa siapsiaga dalam berhadapan dengan sebarang kemungkinaan," tegasnya.

-ends/

Caption:

KALABAKAN 30 OKTOBER 2020. Pasukan keselamatan mempergiat rondaan bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izon (PATI) menerusi Op Cegah PATI (OCP) Daratan di beberapa lokasi di Kalabakan, dekat sini. Nstp / Ihsan Esscom.

From: Abdul Rahemang

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2020 @ 12:52 PM