Gambar hiasan
Gambar hiasan
Hazsyah Abdul Rahman


KAWASAN Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) sentiasa bersedia menghadapi sebarang ancaman kumpulan militan Abu Sayyaf di perairan pantai timur negeri itu.

Ia susulan penularan satu surat pemberitahuan yang dikeluarkan Konsulat Jenderal Republik Indonesia Kota Kinabalu yang mendakwa terdapat pergerakan tiga kumpulan Abu Sayyaf masuk ke perairan negara pada 30 Ogos lalu.

Komander ESSCOM Datuk Hazani Ghazali ketika dihubungi berkata, pihaknya sentiasa melakukan rondaan kawalan keselamatan di kawasan perairan.

“ESSCOM sentiasa berwaspada dari sebarang ancaman penjenayah khususnya Abu Sayyaf di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

“Namun, setakat ini negatif tetapi kita tetap berwaspada dan bersiap-siaga mengenainya,” katanya ketika diminta mengulas berhubung surat itu hari ini.

Bagaimanapun, Hazani turut mengakui pihaknya ada menerima surat yang tular itu dan sudah berhubung dengan pasukan keselamatan Filipina untuk mengesan pergerakan kumpulan terbabit.

Isi kandungan surat yang tular di laman sosial sejak pagi tadi menyatakan tujuan pergerakan kumpulan Abu Sayyaf adalah untuk melakukan penculikan dan sasaran mereka adalah kapal nelayan dan kapal lain.

Surat

itu turut menyatakan lokasi yang menjadi sasaran mereka iaitu di Bakungan, Berhala, Sandakan, Mumiang, Tambisan dan Taganak.

Surat itu dipercayai dikeluarkan sebagai amaran kepada warga Indonesia khususnya nelayan dan kru kapal supaya mereka lebih berwaspada sekiranya berada di perairan kawasan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 September 2019 @ 3:55 PM