GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Tujuh ahli kumpulan pengganas Abu Sayyaf (ASG) yang ditahan pihak berkuasa di rumah pekerja Ladang Borhill Pulau Timbang, di sini, semalam dipercayai sedang menunggu masa sesuai untuk melakukan penculikan.

Kumpulan itu difahamkan mensasarkan majikan mereka untuk diculik sebelum menuntut wang tebusan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, perkara terbabit dikesan berdasarkan hasil risikan dan siasatan dijalankan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, hasil operasi pasukan keselamatan terdiri daripada Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), PDRM, Pasukan Gerakan Am (PGA), dan Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan, semalam, seramai 25 lelaki ditahan selepas gagal menunjukkan dokumen perjalanan dan permit kerja sah.

"Pecahan tangkapan iaitu 11 lelaki adalah warga Filipina dan daripada jumlah itu tujuh lelaki disahkan pihak keselamatan Filipina adalah ahli ASG dari beberapa puak di Sulu, Filipina.

"14 lagi lelaki adalah warga Indonesia di mana lapan dibebaskan selepas majikan menunjukkan dokumen dan permit kerja," katanya.

Hazani berkata, dia mengingatkan pemilik ladang di negeri ini supaya sentiasa berhati-hati ketika ingin mengambil pekerja.

"Pemilik ladang diingatkan supaya tidak mengambil pekerja-pekerja yang tiada dokumen pengenalan diri yang sah.

"Janganlah mengutamakan keuntungan semata-mata dengan mengambil pekerja tanpa dokumen. Pemilik ladang perlu lebih berhati-hati jika ingin mengambil pekerja dari luar," katanya.

Tegas beliau lagi, pihaknya akan terus menjalankan siasatan bagi mengesan saki baki kumpulan ASG di negeri ini.

Dalam insiden jam 5 pagi tadi, dua ahli kumpulan Abu Sayyaf ditembak mati di Pulau Timbang, di sini.

Mereka dikenalpasti merancang untuk melakukan penculikan di kawasan pulau berkenaan membabitkan pemilik ladang kelapa sawit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Ogos 2021 @ 5:00 PM