GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Kes baharu Covid-19 terus mencatatkan sedikit peningkatan apabila merekodkan 7,950 kes hari ini menjadikan jumlah keseluruhan 2,361,529 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 133 kes atau 1.7 peratus adalah kategori tiga hingga lima.

"Sebanyak 7,817 lagi kes atau 98.3 peratus adalah terdiri daripada kategori satu dan dua.

"Daripada jumlah kes dilaporkan, 29 kes adalah kes import, manakala 7,921 kes lagi membabitkan penularan tempatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat 725 kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) membabitkan 710 kes Covid-19, manakala 15 kes dalam siasatan dengan 380 kes memerlukan bantuan pernafasan.

"Sebanyak 10,832 kes dilaporkan pulih menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya adalah 2,227,889 kes atau 94.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.

Beliau berkata, pihaknya mengenal pasti 13 kluster baharu yang dilaporkan di Selangor, Melaka, Kedah, Sarawak, Pahang dan Negeri Sembilan.

Katanya, enam daripadanya dikenal pasti kluster tempat dan tiga lagi kluster komuniti.

"Selain itu, terdapat masing-masing satu kluster direkodkan membabitkan kumpulan berisiko tinggi, pendidikan lain, pusat tahanan serta institusi pendidikan swasta yang berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Daripada jumlah kluster yang direkodkan, lima dilaporkan di Selangor, tiga di Sarawak, dua di Kedah dan masing-masing satu kluster di Pahang, Negeri Sembilan serta Melaka.

"Sebanyak 5,624 kluster dilaporkan sehingga kini dengan 4,862 kluster dilaporkan tamat, manakala 762 kluster lagi masih aktif, setakat ini," katanya.

Menurutnya, data terkini kadar kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) penularan jangkitan Covid-19 di Malaysia, sehingga semalam adalah pada 0.88.

"Negeri yang mencatatkan nilai RT tertinggi adalah Putrajaya dengan 1.09 diikuti Negeri Sembilan dan Perlis yang masing-masing merekodkan 1.05.

"Semua negeri mencatatkan nilai Rt kurang daripada 1.0 kecuali ketiga-tiga negeri berkenaan, manakala Labuan pula kekal merekodkan nilai Rt 0," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Oktober 2021 @ 7:54 PM